Pemain lelaki No.1 Malaysia, Lee Zii Jia berhasil meneruskan kempennya ke pusingan 16 dalam saingan China Masters 2023.
Kemaraan pemain berusia 25 tahun itu dilakar setelah berjaya mengatasi rakan senegara merangkap pemain lelaki No.2 Malaysia, Ng Tze Yong pada pusingan 32, sebentar tadi.
Dalam pertarungan yang menjangkau masa lebih satu jam permainan itu, kemenangan Zii Jia hadir menerusi tiga set permainan dengan skor 15-21, 22-20 dan 21-17.
Keputusan itu sekaligus membolehkan Zii Jia meneruskan kempen dalam saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 750 sementara Tze Yong terpaksa mengucapkan selamat tinggal.
LI-NING China Masters 2023
MS – R32
21 20 21 🇲🇾LEE Zii Jia🥇15 22 17 🇲🇾NG Tze Yong
🕚 in 75 minutes
— BWFScore (@BWFScore) November 22, 2023
Pada masa yang sama, keputusan tersebut mengekalkan rekod bersih Zii Jia ke atas Tze Yong dengan tiga kemenangan daripada tiga pertarungan di pentas antarabangsa.
Sebagai rekod, dua pertarungan melibatkan kedua-dua pemain ini di Terbuka Artik 2023 dan Terbuka Australia 2023 menyaksikan kemenangan turut berpihak kepada Zii Jia.
Sementara itu, pada perlawanan seterusnya, Zii Jia akan bertemu wakil tuan rumah yang berada di ranking ke-16 dunia iaitu Lu Guang Zu.
Untuk makluman, Guang Zu mengesahkan kemaran selepas menundukkan pemain Thailand No.34 dunia, Kantaphon Wangcharoen secara “straight set” menerusi skor 22-20 dan 21-16 dalam masa 55 minit, sebentar tadi.
Berdasarkan rekod, Zii Jia dan Guang Zu sudah pernah berentap sebanyak empat kali sebelum ini.
Menariknya, Zii Jia dilihat mempunyai rekod yang agak baik apabila bertemu pemain berusia 27 tahun tersebut dengan melakar tiga kemenangan sementara hanya mengalami satu kekalahan.