Artikel

Kelantan FC Mungkin Menyebabkan Liga Super Tinggal 13 Pasukan

Saingan Liga Super Malaysia kelak berkemungkinan akan disertai dan ditandingi oleh 13 buah pasukan sahaja pada musim hadapan – musim 2024-25.

Ini selepas pasukan yang dimiliki oleh ahli perniagaan dan pelaburan, Norizam Tukiman iaitu Kelantan FC ditangguhkan pemberian Lesen Kebangsaan – lesen yang membolehkan sesebuah pasukan bersaing dalam kancah Liga Super – oleh First Instance Body (FIB).

Pihak FIB memaklumkan menangguhkan pemberian Lesen Kebangsaan kepada Kelantan FC sehingga mereka menyelesaikan dua isu berbangkit pada tarikh 30 November dan 31 Disember 2023.

Pada permulaannya, pihak FIB menjelaskan bahawa Kelantan FC tidak memiliki rekod tunggakan gaji melibatkan pemain dan pegawainya sehingga 30 Jun 2023. 

Namun begitu, isu melibatkan Kelantan FC bermula apabila FIB mendapati pasukan yang sedang menghuni tangga tercorot Liga Super ini memiliki tunggakan gaji di dalam surat deklarasi mereka setakat 31 Ogos 2023.

“Jadi ada dua isu di sini yang perlu saya tekankan berkenaan Kelantan FC,” kata Pengerusi Pelesenan Kelab MFL FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif memulakan penjelasannya kepada para pengamal media yang hadir di Wisma FAM, hari ini.

“Yang pertama, tunggakan gaji setakat 31 Ogos 2023, sebagai langkah permulaan FIB telah mengarahkan Kelantan FC untuk menyelesaikan bayaran tunggakan gaji atau menyerahkan persetujuan bersama pemain dan pegawai pada atau sebelum 15 November 2023,”

“Walaubagaimanapun dan dukacita dimaklumkan, tarikh akhir 15 November 2023 tersebut, pihak FIB tidak menerima sebarang bukti bayaran ataupun persetujuan bersama pemain dan pegawai,”

“Sebaiknya pihak FIB hanya menerima surat rayuan daripada pihak Kelantan FC untuk melanjutkan masa,”

“Justeru itu, hukuman pertama dikenakan kepada Kelantan FC iaitu denda sebanyak RM20,000 atas kesalah tidak memenuhi tempoh masa yang diarahkan oleh FIB,” 

“Namun begitu, pihak FIB atas budi bicaranya memberikan peluang terakhir sehingga 30 November 2023 untuk menyerahkan bukti bayaran tunggakan gaji sehingga 31 Ogos ataupun persetujuan bersama pemain dan pegawai kelab,”

“Sekiranya Kelantan FC berjaya menyelesaikan langkah permulaan tersebut, Kelantan FC masih perlu menyelesaikan langkah seterusnya untuk menerima Lesen Kebangsaan,”

“Namun jika gagal di peringkat pertama, Kelantan FC secara automatik tidak akan menerima Lesen Kebangsaan pada musim 2024-25,” jelasnya.

Sheikh Mohd Nasir menyambung penjelasannya, “Isu kedua berkenaan dengan Kelantan FC ialah kes-kes yang masih lagi ada di FIFA dan juga FAM, 

“FIB sebelum ini telah memberikan hukuman kepada Kelantan FC dengan sekatan perpindahan sehingga kes tempatan dan asing telah diselesaikan sepenuhnya, dan hukuman ini, untuk makluman, masih lagi berjalan,”

“Oleh itu, Kelantan FC perlu menghantar surat deklarasi serterusnya yang membuktikan bahawa mereka bebas daripada sebarang tunggakan sehingga 30 November mengikut sub-kriteria kewangan F.09 Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 berserta penyelesaian untuk kes-kes yang mempunyai keputusan FIFA dan FAM sebelum 31 Disember 2023.” ujarnya.

“Untuk makluman semua, keputusan penangguhan Lesen Kebangsaan bagi pasukan Kelantan FC ini adalah kerana mereka telah melengkapkan semua dokumen bagi keenam-enam kriteria yang terdapat di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 sebelum tarikh akhir bulan September 2023,

“Oleh kerana terdapat tunggakan bayaran gaji yang masih belum selesai sepenuhnya dan tiada surat persetujuan bersama di antara pemain dan pegawai maka pihak FIB memberikan lanjutan masa untuk mereka menyelesaikannya dengan merujuk artikel 2.4… selepas menerima rayuan lanjutan masa,

Pada ketika ini, Sheikh Mohd Nasir memaklumkan Kelantan FC mempunyai lima kes FIFA yang masih aktif dan dua kes FAM di dalam rayuan dimana keputusan yang dikeluarkan adalah setakat Ogos 2023.

Dimaklumkan, kelab berpangkalan di pantai timur berjulukan The Red Warriors (TRW) itu sedang menjalankan inisiatif untuk membuat rundingan terus dengan pegawai dan pemain terlibat dan pihak FIB juga telah menerima dokumen-dokumen yang berkaitan.

Manakala untuk kes FAM, mereka telah mengemukakan rayuan dan pihak FAM telah menerima rayuan tersebut namun keputusan rayuan itu sedang dinantikan oleh mereka.

Atas sebab itu, pihak FIB telah memberikan lanjutan masa untuk mereka selesaikan sebelum atau pada 31 Disember 2023.

“Untuk makluman semua, kes Kelantan FC ini ternyata berbeza sama sekali dengan kes berkaitan Lesen Kebangsaan yang tidak diberikan kepada pasukan Melaka United FC dan Sarawak United FC pada tahun lepas dimana mereka gagal untuk melengkapkan beberapa dokumen mengikut tarikh akhir yang ditetapkan,”

“Ianya berbeza dengan pasukan Kelantan FC dimana mereka telah melengkapkan semua dokumen mengikut tarikh akhir yang ditetapkan pada tahun ini,” jelas Sheikh Mohd Nasir lagi.

Sementara itu, sepuluh buah pasukan yang terdiri daripada Johor Darul Ta’zim (JDT),  Perak FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, Penang FC, Kuching City FC, Kedah Darul Aman FC, Negeri Sembilan FC dan PDRM FC mendapat Lesen Kebangsaan sekaligus boleh beraksi dalam saingan Liga Super Malaysia 2024-25.

Tiga buah pasukan lagi yang terdiri daripada Kuala Lumpur City FC, Kelantan United FC dan Sabah FC turut mendapat Lesen Kebangsaan namun disertakan dengan hukuman denda sebanyak RM20,000 masing-masing atas kesalahan melakukan deklarasi yang salah.

Pada masa yang sama, tiada sebarang pasukan daripada saingan divisyen ketiga bola sepak tempatan, Liga M3 atau nama komersilnya, MBSB Bank Championship akan mendapat promosi ke saingan Liga Super Malaysia 2024-25.

Hal ini kerana tujuh buah pasukan daripada saingan itu yang terdiri daripada Imigresen FC, KL Rovers FC, Harini Selangor FT, Armed Forces FC, Perlis United FC, Melaka FC dan Sarawak United FC yang memohon Lesen Kebangsaan “Extraordinary” bagi kitaran pelesenan 2023 untuk Lesen Kebangsaan Liga Super 2024-25 tidak diberikan Lesen Kebangsaan.

Sekiranya Kelantan FC tidak menyelesaikan kedua-dua isu berbangkit mengikut tarikh yang ditetapkan iaitu pada 30 November serta 31 Disember 2023 masing-masing yang menjuruskan pihak FIB tidak memberikan mereka Lesen Kebangsaan maka saingan Liga Super 2024-25 kelak hanya akan disertai oleh 13 buah pasukan sahaja.

komen