Anugerah BWF: Tang Jie-Ee Wei Tercalon Kategori ‘Most Improved Player Of The Year’
November 23, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang bermula dengan ranking ke-272 pada penghujung tahun lalu dan mencatatkan peningkatan demi peningkatan sehingga menghuni ranking kesembilan dunia pada ketika ini tercalon untuk merebut Anugerah Pemain Terbaik Tahunan BWF 2023.

Berdasarkan makluman daripada BWF, gandingan pemain yang berusia 25 dan 23 tahun masing-masing itu tercalon dalam kategori Pemain Paling Meningkat Tahunan (Most Improved Player Of The Year).

Sejak bergandingan bersama, Tang Jie-Ee Wei telah berjaya merangkul empat kejuaraan iaitu Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022, Cabaran Antarabangsa Iran Fajr 2023, Orleans Masters 2023 dan Terbuka Taipei 2023.

Tang Jie-Ee Wei akan merebut anugerah itu bersama-sama dua lagi calon iaitu beregu campuran China yang menduduki ranking keenam dunia, Jian Zhen Bang dan Wei Ya Xin serta beregu lelaki No.1 Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen.

Tidak dilupakan, perseorangan lelaki badminton para negara, Cheah Liek Hou turut tercalon untuk merebut kategori Pemain Lelaki Badminton Para Terbaik Tahunan (Male Para Badminton Palyer Of The Year) serta Pasangan Badminton Para Terbaik Tahunan (Para Badminton Pair Of The Year) bersama-sama Muhammad Fareez Anuar.

Pemenang bagi kategori ini serta tujuh lagi yang termasuk tiga kategori untuk pemain badminton para akan diumumkan semasa majlis tahunan Makan Malam Gala Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China pada 11 Disember nanti.

Featured Image: BWF

Komen