Kapten Piya: Tak Pandai Pegang Bola Sepak Kelantan HANCUR!
November 23, 2023 Hafizuddin Omar

Bekas kapten skuad Kelantan FA atau dikenali sebagai Kelantan FC pada ketika ini, Badhri Radzi dilihat marah dan kecewa dengan perkembangan semasa melibatkan bekas pasukannya itu.

Pemain yang terkenal dengan panggilan Piya itu meluahkan perasaan tersebut menerusi satu komen yang ditinggalkan pada hantaran yang dibuat oleh akaun Instagram, @kelantan_pride_soul sekitar dua hari lalu.

Hantaran itu berkongsikan grafik keputusan Kelantan FC menentang Sabah FC yang berakhir dengan kekalahan yang memalukan 7-0 pada aksi ke-23 Liga Super berserta kapsyen, “Sejarah tercipta sobat. Selepas 23 perlawanan TRW bolos 102 gol.”

Hantaran itu membuat Piya meninggalkan komen, “Ni kalu xpandai pege bola sepak kelate gak HANCUR! (Ini la kalau tak pandai pegang bola sepak Kelantan, HANCUR!)”

Pada saat ini, Kelantan FC atau nama julukannya The Red Warriors (TRW) sedang terperosok di tangga tercorot Liga Super dengan sekadar mengutip lapan mata daripada 23 perlawanan yang telah dihadapi.

Lapan mata tersebut hasil daripada Kelantan FC mencetak dua kemenangan serta dua keputusan seri sementara tumpas dalam 19 buah perlawanan lain.

Untuk makluman, selain tumpas 7-0 di tangan Sabah FC, skuad berpangkalan di pantai timur yang kini dimiliki oleh ahli perniagaan dan pelaburan, Norizam Tukiman turut tewas dengan keputusan yang memalukan ketika bertemu Terengganu FC (0-8), Perak FC (0-8) dan Selangor FC (2-11) dalam saingan Liga Super.

Perkembangan terbaru yang hadir melibatkan Kelantan FC semalam iaitu diambang tidak diberikan Lesen Kebangsaan oleh First Instance Body (FIB) untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2024-25 pastinya menambahkan lagi kekecewaan pemain tengah yang cukup sinonim dengan memakai jersi bernombor 16 ini.

Featured Image: Instagram @captain_piya16

Komen