Thailand Ambil Khidmat Jurulatih ‘Double Treble’ Ganti Alexandre Polking
November 23, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan negara jiran tetangga, Thailand mengumumkan mendapatkan khidmat ketua jurulatih baharu bagi menggantikan Alexandre ‘Mano’ Polking selepas mengharungi dua perlawanan Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Terdahulu, pengurus skuad berjulukan Gajah Perang, Nualphan Lamsan atau lebih dikenali sebagai Madam Pang mengumumkan Thailand dan Mano membawa berpisah untuk membawa haluan masing-masing ekoran meraih keputusan perlawanan tidak seperti yang disasarkan.

Susulan pengumuman itu, Madam Pang turut memaklumkan kekosongan itu diisi oleh jurulatih yang membawa kelab gergasi bola sepak Thailand, Buriram United meraih kejuaraan ‘double treble’ pada musim 2021-22 dan 2022-23 iaitu Masatada Ishii.

Ishii meraih gelaran ini apabila membimbing skuad berjulukan Thunder Castle meraih kejuaraan Liga Thai 1, Piala FA dan Piala Liga selama dua musim berturut-turut. 

Difahamkan, jurulatih kelahiran Jepun yang berusia 56 tahun ini dipilih untuk mengemudi Thailand mengharungi baki saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 atas faktor sudah mengenali dan mengetahui banyak maklumat mengenai pemain skuad kebangsaan.

Faktor ini sepadan dengan pengalaman Ishii yang telah mengemudi kelab dalam kancah bola sepak Thailand bermula penghujung 2019 bersama Samut Prakan City.

Pada masa yang sama, Ishii yang berasal dari negara matahari terbit yang merupakan negara contoh bola sepak di benua asia serta berada di dalam kelompok negara 20 terbaik dunia turut menjadikan jurulatih ini calon yang sesuai untuk mengemudi Thailand.

Untuk makluman, sebelum berhijrah ke Thailand, Ishii sempat melatih dua kelab berpangkalan di negara kelahirannya, Kashima Antlers (2015-2017) dan Omiya Ardija (2017-2018).

Perlantikan ini secara langsungnya menyaksikan Thailand kembali menggunakan khidmat jurulatih dari negara matahari terbit selepas menggunakan khidmat Akira Nishino kelahiran Saitama sehingga Julai 2019.

Sebagai rekod, Mano yang merupakan berdarah campuran Brazil-Jerman dilantik sebagai ketua jurulatih Thailand bermula September 2021 bagi menggantikan Nishino.

Bermula saat itu hingga berpisah dengan skuad kebangsaan Thailand, Mano selaku ketua jurulatih telah membimbing Gajah Perang muncul juara Piala AFF dua kali berturut-turut pada edisi 2020 dan 2022.

Featured Image: Buriram United

Komen