Cabaran sukar menanti skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) pada peringkat kumpulan dalam saingan Piala Asia B-23 2024 selepas diundi bersama-sama dua finalis edisi 2018 iaitu Uzbekistan dan Vietnam.
Keputusan itu hadir selepas selesainya majlis undian bagi kejohanan berkenaan yang berlangsung di Al Bustan Ballroom, Wyndham Doha West Bay di Doha, Qatar, sebentar tadi.
Dalam sesi undian tersebut, Malaysia bimbingan Juan Torres Garrido diundi dalam Kumpulan D. Selain Uzbekistan dan Vietnam, turut mengiringi Malaysia dalam kumpulan tersebut ialah Kuwait.
Untuk makluman, selain muncul juara pada edisi 2018, Uzbekistan, kehadirannya pada kali ini selaku naib juara edisi lalu. Manakala Vietnam pula pada edisi lalu berhasil mara sehingga peringkat suku akhir sebelum disingkirkan Arab Saudi yang akhirnya merangkul kejuaraan.
Sementara itu, Kuwait pula layak menyertai saingan ini pada kali setelah meletakkan diri selaku empat naib juara terbaik dalam pusingan kelayakan – sama seperti Malaysia.
View this post on Instagram
Bagi skuad negara yang mendapat berjulukan Harimau Muda, ini merupakan pentas pusingan akhir Piala Asia B-23 yang pertama dijejaki kembali selepas gagal melayakkan diri pada edisi 2020 dan 2022.
Pencapaian terbaik Malaysia pula hadir pada edisi terakhir yang mereka sertai – edisi2018 – mara sehingga ke peringkat suku akhir sebelum ditumpaskan Korea dengan keputusan 2-1.
Untuk makluman semua, Piala Asia B-23 pada kali ini dilihat bakal berlangsung dengan lebih meriah memandangkan ianya turut berperanan sebagai kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi pasukan dari benua asia.
Tiga pasukan terbaik daripada kejohanan ini akan mendapat tiket automatik ke temasya yang berlangsung setiap empat tahun sekali itu. Manakala pasukan keempat terbaik pula akan mendapat slot play-off bertemu pasukan keempat terbaik saingan Piala Negara-Negara Afrika B-23 iaitu Guinea.
Sebagai tambahan, saingan ini akan membuka tirainya pada 15 April dan berakhir pada 3 Mei 2024 serta dilangsungkan di Doha, Qatar.
View this post on Instagram
Featured Image: Football Association of Malaysia