Pemain skuasy wanita negara, Sivasangari Subramaniam yang meraih dua pingat emas di Sukan Asia 2022 menjadi penerima terbanyak Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dalam kalangan atlet-atlet yang beraksi di temasya berkenaan.
Pemain berusia 24 tahun itu menerima ganjaran wang tunai sebanyak RM100,000 hasil daripada kejayaannya merangkul emas acara perseorangan wanita (RM80,000) dan berpasukan wanita (RM20,000).
Sivasangari menerima ganjaran tersebut yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh Sivasangari dalam Majlis Penyampaian Hadiah SHAKAM yang berlangsung di Grand Dorsett Hotel, Subang Jaya, malam tadi.
Sementara itu, pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow pula muncul penerima kedua terbanyak dalam kalangan atlet yang beraksi di Sukan Asia 2022 apabila meraih ganjaran sebanyak RM85,000 menerusi satu pingat emas (perseorangan lelaki) dan gangsa (berpasukan lelaki) masing-masing.
Senarai penerima ganjaran terbanyak itu diikuti oleh atlet karate, Muhammad Ariff Arifuddin; atlet ekuestrian, Muhammad Qabil Ambak dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif yang merangkul satu emas masing-masing sekaligus membawa pulang RM80,000 setiap seorang.
Untuk makluman semua, SHAKAM menghadiahkan ganjaran sebanyak RM80,000 bagi pemenang pingat emas, RM40,000 untuk pemenang pingat perak dan RM20,000 buat pemenang pingat gangsa.
Bagi acara berpasukan yang terdiri daripada 1-4 orang, jumlah yang sama diberikan oleh SHAKAM sepertimana kilauan pingat di atas dan dibahagikan dengan jumlah atlet yang membentuk pasukan itu.
Sementara itu, bagi acara berpasukan yang terdiri dari lima orang dan ke atas, SHAKAM memberikan ganjaran sebanyak RM15,000, RM8,000 dan RM4,000 untuk setiap orang bagi pingat emas, perak dan gangsa masing-masing.
Untuk rekod, seramai 66 atlet yang memenangi pingat pelbagai warna di Sukan Asia 2022 menerima ganjaran daripada SHAKAM pada malam tadi dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,228,000.
Sebagai tambahan, temasya Sukan Asia 2022 menyaksikan Kontinjen Malaysia berhasil membawa pulang 32 pingat secara keseluruhan yang merangkumi 6 pingat emas, 8 pingat perak dan 18 pingat gangsa.
Pada masa yang sama, majlis pada malam tadi turut menyampaikan ganjaran kepada jurulatih-jurulatih menerusi Skim Galakan Jurulatih (SGAR) yang berjumlah RM245,600 secara keseluruhannya sebagai penghargaan buat para jurulatih.
Featured Image: Instagram Sivasangari