Nur Syaiful Atlet Sukan Para Asia Raih Ganjaran Terbanyak SHAKAM – RM110,000
November 24, 2023 Hafizuddin Omar

Atlet renang para negara, Nur Syaiful Zulkafli menjadi penerima terbanyak Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) hasil merangkul satu pingat emas, satu pingat gangsa serta mencipta rekod temasya dalam acara 100 meter (m) kuak dada kategori SB4 di Sukan Para Asia 2022.

Ketiga-tiga kejayaan tersebut menjadikan Nur Syaiful menerima sebanyak RM110,000 yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dalam Majlis Penyampaian Hadiah SHAKAM yang berlangsung di sebuah hotel bertempat di Subang Jaya, semalam.

Pingat emas yang dimenanginya itu memberikan Nur Syaiful ganjaran sebanyak RM80,000 manakala pingat gangsa pula membolehkannya mendapat RM20,000. Sementara itu, tambahan sebanyak RM10,000 lagi diberikan susulan mencipta rekod baharu di temasya berkenaan.

Sementara itu, atlet olahraga para, Muhammad Ammar Aiman serta atlet powerlifting para, Bonnie Bunyau Gustin muncul penerima kedua dan ketiga terbanyak SHAKAM apabila menerima RM90,000 setiap seorang hasil meraih satu pingat emas masing-masing serta memecahkan rekod temasya.

Manakala atlet berbasikal para, Muhammad Adi Raimie; atlet lompat jauh para, Datuk Abdul Latif Romly; atlet lontar peluru para, Muhammad Ziyad Zolkefli; dan atlet boccia,  Noor Askuzaimiey membawa pulang RM80,000 setiap seorang hasil meraih satu pingat emas masing-masing.

Tujuh atlet yang tersenarai di atas merupakan penerima ganjaran terbanyak SHAKAM dalam kalangan atlet Sukan Para Asia 2022.

Atlet-atlet lain yang meraih pingat perak dan gangsa bagi acara individu pula menerima ganjaran sebanyak RM40,000 serta RM20,000 masing-masing – sama seperti diterima oleh atlet yang beraksi di Sukan Asia 2022.

Bagi pemenang acara berpasukan yang merangkumi 1-4 orang setiap pasukan, pemenang pingat emas, pingat perak serta pingat gangsa menerima RM80,000, RM40,000 dan RM20,000 untuk dikongsikan bersama ahli-ahli pasukan.

Untuk acara berpasukan yang terdiri daripada 5 orang dan lebih, setiap ahli pasukan akan mendapat RM15,000 untuk pingat emas; RM8,000 bagi pingat perak serta RM4.000 buat pingat gangsa.

Secara keseluruhannya, 38 atlet para yang mewakili Malaysia memenangi 7 pingat emas, 15 pingat perak dan 17 pingat gangsa menerima ganjaran daripada SHAKAM yang berjumlah RM1,530,000.

Pada masa yang sama, jurulatih-jurulatih yang melatih atlet-atlet para ini turut diraikan dan dihargai dengan pemberian ganjaran berjumlah RM300,000 menerusi Skim Galakan Jurulatih (SGAR).

Featured Image: Muhd Nur Syaiful

Komen