Penganjur Sedang Bincang Tambah Perlawanan Piala MFL
November 24, 2023 Hafizuddin Omar

Saingan liga simpanan bawah 23 Tahun (B-23) atau nama rasminya Piala MFL mungkin mengalami pertambahan perlawanan serta dipanjangkan musimnya.

Difahamkan perkara ini sedang dibincangkan oleh penganjur, Malaysian Football League (MFL) dan disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam.

“Format pertandingan kemungkinan akan dimajukan untuk memastikan pasukan bawah 23 mendapat perlawanan yang lebih dan musim yang lebih panjang, itu yang sedang dibincangkan, ya betul,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM, baru-baru ini.

Untuk makluman, penganjuran sulung Piala MFL pada tahun ini menyaksikan setiap pasukan yang menyertainya akan dapat beraksi minimum 12 perlawanan bagi Kumpulan B dan 14 perlawanan bagi Kumpulan A.

Manakala pasukan yang berjaya melangkah ke peringkat Liga Juara pula menikmati tambahan tujuh perlawanan lagi. 

Sementara itu, juara dan naib juara saingan ini iaitu Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pula mendapat satu lagi tambahan perlawanan – perlawanan akhir Piala MFL.

Secara keseluruhannya, Terengganu dan JDT yang datangnya dari Kumpulan A mengharungi maksimum 22 perlawanan musim ini daripada saingan Piala MFL.

Biarpun MFL mengesahkan perbincangan mengenai perubahan format pertandingan namun dijangka tiada perubahan melibatkan peraturan yang membenarkan penyertaan lima pemain lebih umur di dalam skuad dan hanya tiga dibenarkan beraksi di atas padang termasuk dua pemain import pada satu-satu masa.

Komen