Para penyokong Selangor FC berkemungkinan dapat memesan makanan serta minuman dan dihantar terus kepada individu tersebut di tempat duduknya sambil menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi di stadium.
Pengalaman tersebut dijangka akan dapat dinikmati para penyokong skuad berjulukan Red Giants apabila perancangan untuk mengadakan sistem pemesanan makanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya direalisasikan kelak.
Namun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata akan melihat kepada infrastruktur di stadium berkapasiti sekitar 25,000 tempat duduk terlebih dahulu sebelum merealisasikan pengalaman berkenaan buat para penyokong.
Ini antara salah satu contoh usaha yang sedang dibincangkan untuk diusahakan oleh Selangor FC selepas menandatangani perjanjian kerjasama dengan sebuah syarikat berasaskan teknologi, Citadel Group Technologies, pada hari ini.
“Antaranya, (sebagai) contoh, food ordering system, sebab sekarang ni sangat manual cara nak order makanan dan sebagainya (dalam stadium),
“So perkara ini juga berkait rapat dengan infrastruktur stadium dimana kita kena lihat bagaimana kita nak ada numbered seating dan bagaimanapun kita boleh order melalui fon dan makanan tu akan dihantar ke tempat duduk, itu satu contohlah,” jelasnya ketika ditemui wartawan selepas menandatangani perjanjian bersama syarikat tersebut di Pusat Latihan Selangor FC.
Menerusi kerjasama ini, Dr. Johanan atau lebih mesra dengan panggilan Dr. Jo memaklumkan pihaknya juga sedang berbincang untuk mengadakan aplikasi telefon pintarnya yang tersendiri dan menyertakan sekali sistem pemesanan makanan itu di dalamnya.
“Benda tu (apps) memang dalam perbincangan, bila kita nak ada apps ni of course kita tak nak sekadar buat sahaja, so beberapa fungsi dan juga application perlu diterapkan dalam apps ini,
“Konten apps ni masih dibincangkan macam saya cakap (sebagai) contoh food ordering system dalam stadium, itu antara satu perkara yang kita sedang lihat dan samada kena apps sendiri ke, dan sebagainya, there is something yang kita explore-lah, saya rasa apps tu dalam kita punya pipeline-lah (dalam) beberapa bulan ni,” tambahnya.
Selain daripada mengadakan sistem pesanan makanan, Selangor turut melihat ruang untuk memperbaiki lagi kedai cenderamata dalam taliannya, menaiktaraf Team Card dan laman sesawang rasminya serta menerokai pelbagai ruang menerusi kerjasama bertempoh setahun bersama Citadel Group Companies ini.
“Harapnya pengalaman pada hari perlawanan, pengalaman membeli dan juga menggunakan platform-platform Selangor berasa lebih selesa dan lebih engaging buat penyokong-penyokong Selangor,” ujarnya lagi.
Dr. Jo meletakkan sasaran sistem dan teknologi yang ingin diketengahkan bersama Citadel Group Technologies ini dapat dinikmati oleh para penyokong Selangor FC apabila bermulanya saingan baharu bola sepak tanah air musim 2024-25 sekitar April atau Mei nanti.