Selangor FC Sedang Bincang Lanjut Kontrak Faisal Halim Selama Yang Mungkin
November 25, 2023 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC berhasrat untuk menggunakan khidmat penyerang sayap lincah bertubuh kecil yang juga merupakan tonggak skuad kebangsaan, Faisal Halim dengan lebih lama.

Justeru, satu perbincangan dengan pemain yang bakal berusia 26 tahun pada Januari kelak sedang dijalankan oleh pihak pengurusan skuad berjulukan The Red Giants untuk melanjutkan kontraknya.

Perkembangan untuk melanjutkan kontrak pemain yang terkenal dengan panggilan Mickey itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon.

“Kontrak Mickey pada saat ini, kita sedang berbincang dengan dia, kontrak tu ada beberapa klausa-klausa tertentu, kami sedang berbincang,”

“Sudah tentu (mahu lanjutkannya), Mickey adalah pemain penting untuk Selangor, sudah tentu kita nak simpan pemain terbaik di Selangor,”

“(Ikat) selama yang mungkin, sekali lagi, ia adalah perbincangan dua hala, tapi, kami semua gembira dengan Mickey (dan) Mickey pun gembira dekat Selangor, jadi, harapnya kami boleh lanjutkannya selama yang mungkin,” kata Dr. Johan kepada para pengamal media ketika ditemui di Pusat Latihan Selangor FC, semalam.

Pada masa yang sama, Dr. Johan turut menegaskan Faisal masih merupakan pemain skuad Merah Kuning biarpun kecoh di media sosial yang mengaitkan pemain tersebut dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Mickey merupakan pemain Selangor, masih pemain Selangor dan beliau masih fokus dan komited untuk habiskan musim dengan baik,

“Jadi, kita akan lihat, pada saat ini, dia merupakan pemain Selangor selagi mana yang dia mahukan,” tambahnya lagi.

Sebagai rekod, Faisal menyertai Selangor secara rasminya pada penghujung Disember 2022 selepas mengharungi musim yang cemerlang bersama Terengganu FC di bawah kendalian Nafuzi Zain.

Sepanjang bersama Selangor bimbingan Tan Cheng Hoe, Faisal meneruskan kecemerlangannya selaku tonggak Red Giants dengan tampil sebanyak 23 kali disamping menjaringkan 12 gol dan mencipta 10 “assists”.

Sumbangannya itu telah membantu Selangor menghuni tangga kedua Liga Super pada ketika ini selain mara ke separuh akhir Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Featured Image: Selangor FC

Komen