Slot ACL2: Selangor FC Kukuhkan Posisi No.2 Liga Super
November 25, 2023 Hafizuddin Omar

Selangor FC kendalian Tan Cheng Hoe mengukuhkan posisi mereka di tangga kedua Liga Super selepas membantai Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Kemenangan besar 4-0 skuad berjulukan Red Giants ke atas Perak pada perlawanan ke-24 liga itu membolehkan mereka mengumpul 55 mata – menjarakkan lagi dirinya dengan pasukan di tangga ketiga, Kedah Darul Aman FC.

Dalam perlawanan tersebut, Selangor mendahului dengan dua jaringan pada separuh masa menerusi Sharul Nazeem pada minit ke-3 sebelum digandakan oleh Mukahiri Ajmal pada minit ke-33.

Bersambung separuh masa kedua, jaringan Yohandry Orozco dan Ayron del Valle pada minit ke-73 dan ke-80 masing-masing memuktamadkan kemenangan Selangor tanpa sebarang jaringan balas daripada pasukan lawan bimbingan Yusri Che Lah.

Kemenangan ini telah menjarakkan Selangor sebanyak lima mata dengan skuad berjulukan Sang Kenari. 

Situasi ini mencerahkan peluang mereka untuk bergelar naib juara Liga Super sekaligus maraih slot ke saingan Tier 2 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) iaitu Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) bagi musim 2024-25.

Untuk makluman, MFL telah menetapkan slot ke saingan tersebut akan diberikan kepada naib juara Liga Super sekiranya pasukan yang sama menjuarai kedua-dua saingan Piala FA dan Liga Super.

Seperti kita semua maklum, Johor Darul Ta’zim (JDT) kendalian Esteban Solari telah mengesahkan kejuaraan bagi kedua-dua saingan itu pada 23 Julai dan 27 September lalu.

Selaku juara Liga Super, JDT meraih slot ke saingan Tier 1 AFC iaitu Liga Juara-Juara Elit AFC (ACL Elite) bagi musim 2024-25.

Sementara itu, Kedah bimbingan Nafuzi Zain akan turun menentang pasukan tercorot liga, Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada malam esok bagi aksi ke-24 liga.

Sama-sama kita nantikan samada Kedah mampu meraih tiga mata penuh untuk terus menghimpit Selangor untuk merebut gelaran naib juara serta merampas slot ke saingan ACL2 ataupun tidak.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen