Kongres PJBM: Kim Swee Presiden Baharu, Asri Ninggal & Razip Ismail Timbalan Presiden Penggal 2022-2026
November 25, 2023 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dipilih sebagai Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) yang baharu bagi penggal 2022-2026.

Jurulatih berusia 52 tahun ini dipilih untuk memegang jawatan tersebut setelah menang tanpa bertanding pada Kongres Tahunan PJBM yang berlangsung di Kelana Jaya pada hari ini.

Sebelum ini, Kim Swee memegang jawatan selaku Timbalan Presiden. Namun setelah mendiang B. Satiananthan meninggal dunia ekoran kanser pada 18 Julai lalu, Kim Swee bertindak sebagai Pemangku Presiden.

Ketika ditemui selepas kongres, Kim Swee memaklumkan mahu meneruskan perancangan yang dilakukan oleh mantan presiden, mendiang Satiananthan disamping Jawatankuasa Eksekutif PJBM yang baharu dikepalainya menggerakkan pelbagai perancangan yang tersendiri. 

Antara perkara utama yang mahu digerakkan adalah melibatkan kebajikan jurulatih-jurulatih tempatan serta membentuk formula terbaik bersama Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar para jurulatih menerima manfaat yang sepatutnya – sama seperti yang diraih oleh pemain bola sepak menerusi Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM). 

Kongres pada hari ini turut melantik bekas ketua jurulatih Melaka United FC yang kini merupakan Pengarah Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM), Mohd Asri Ninggal selaku Timbalan Presiden setelah mengalahkan Dato’ Richard Scully.

Manakala jawatan Naib Presiden pula turut diisi oleh Pengarah Pembangunan Akar Umbi Kelantan United FC, Rezal Zambery Yahya dan Pengarah Teknikal Negeri Sembilan FC, Ishak Kunju Mohamad.

Sementara itu, bekas ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong dan Haris Lajid menjadi turut dipilih perwakilan di dalam kongres berkenaan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif. 

Majoriti yang lain pula kekal memegang jawatan masing-masing setelah menang tanpa bertanding.

Senarai penuh Jawatankuasa Eksekutif PJBM Penggal 2022-2026 adalah seperti berikut:

Presiden – Datuk Ong Kim Swee

Timbalan Presiden – Mohd Razip Ismail, Mohd Asri Ninggal

Naib Presiden – ACP (B) Md Dali Wahid, Rezal Zambery Yahya, Ishak Kunju Mohamad, Aminuddin Hussin

Ahli Jawatankuasa Eksekutif – Ridzuan Abu Shah, Sulaiman Hussin, Rashid Mahmud, Noor Zaidi Rohmat, Chiew Chun Yong, Farhana Abdullah, Siti Suhaila Johari, S. Balachandran, Haris Lajid

Featured Image: Sabah FC

Komen