Pasukan berpangkalan di utara tanah air, Kedah Darul Aman FC (Kedah) terus mengekori Selangor FC dengan rapat untuk merebut gelaran naib juara Liga Super 2023 serta meraih slot ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Ianya selepas skuad berjulukan Sang Kenari menepati ramalan untuk menumpaskan pasukan tercorot liga, Kelantan FC pada aksi ke-24 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.
Kedah bimbingan Nafuzi Zain bukan sahaja melakar kemenangan bahkan membantai Kelantan tanpa belas kasihan dengan keputusan 6-1 hasil empat jaringan oleh Ifedayo Olusegun (6’, 26’, 30’ dan 80’) serta satu gol masing-masing menerusi Wan Amirul Afiq (29’) dan Arif Farhan (87′).
Manakala Kelantan berjulukan The Red Warriors (TRW) berhasil meraih gol saguhati menerusi pemain gantian, Haziman Che Ngah (73’).
⚔ FULL TIME ⚔
FT | TRW KELANTAN FC 1 – 6 KDA FC
⚽ 6′(P) 26′(P) 30′ 79′ Ifedayo (KDA FC)
⚽ 28′ Wan Amirul Afiq (KDAFC)
⚽ 73′ Haziman Che Ngah (KEL)
⚽ 86′ Ariff Farhan (KDAFC) pic.twitter.com/bkiciv97GG— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) November 26, 2023
Sementara itu, keputusan ini menyaksikan Kelantan milik Norizam Tukiman kekal di tangga tercorot liga dengan pungutan lapan mata sambil menambahkan lagi catatan bolosnya menjadi 108 gol pada musim ini.
Kemenangan oleh Kedah pula membolehkannya mengumpul sebanyak 53 mata – hanya kurang dua mata berbanding Selangor yang memiliki 55 mata selepas menumpaskan Perak FC dengan keputusan 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.
Untuk makluman, pasukan yang menamatkan saingan Liga Super selaku naib juara pada musim ini akan membolot slot ke saingan ACL2 setelah Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya merangkul kedua-dua berganda, Piala FA dan Liga Super pada 23 Julai dan 27 September lalu.
Pada masa yang sama, pasukan yang muncul naib juara akan meraih ganjaran sebanyak RM1.9 juta. Sebagai perbandingan pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga pula akan mendapat pulangan sebanyak RM1.5 juta.
Menariknya, Kedah dan Selangor akan bertembung sesama sendiri pada perlawanan seterusnya, aksi ke-25 liga, yang dijadualkan pada 2 Disember kelak di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Kemenangan Kedah pada malam ini pastinya menghangatkan lagi perebutan gelaran naib juara dan slot untuk ke saingan ACL2 menjelang aksi ke-25 liga tersebut.
Featured Image: Kedah Darul Aman FC