Artikel

Penang FC Kendalian Akmal Rizal Kejutkan Sri Pahang – Berpeluang Rebut Ganjaran RM800,000

Pasukan berpangkalan di negeri bergelaran Pulau Mutiara, Penang FC mencipta kejutan ke atas Sri Pahang FC dalam aksi ke-24 Liga Super sekaligus merekodkan kemenangan sulungnya selepas kemarau kemenangan dalam tujuh perlawanan yang lalu.

Kemenangan itu juga hadir pada perlawanan pertama kendalian ketua jurulatih sementara (interim) yang juga bekas penyerang skuad kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang baru sahaja melengkapkan lesen kejurulatihan AFC Pro Diploma, baru-baru ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang berakhir dengan Penang atau nama julukannya Harimau Kumbang melakukan kebangkitan menerusi keputusan 3-2.

Pemain import Penang, Abdul Abdeen Temitope berhasil merobek gawang Sri Pahang yang dikawal Izham Tarmizi sebanyak dua kali pada min-25 dan min-64 masing-masing sebelum pemain gantian, Izzat Zikri Iziruddin menjaringkan gol kemenangan pada min-70.

Manakala jaringan oleh Sri Pahang pula disumbangkan oleh Rafael da Silva Santos dan Syazwan Andik pada min-20 serta min-62 masing-masing. 

Kemenangan tersebut bukan sahaja merupakan yang pertama selepas tujuh perlawanan bahkan membolehkan mereka mengumpul 23 mata dan menaikkan mereka ke posisi kesepuluh Liga Super – yang akan memberikan ganjaran sebanyak RM750,000 sekiranya kekal di situ sehingga penghujung musim.

Pada masa yang sama, Penang turut berpeluang untuk merebut posisi kesembilan liga yang menjanjikan ganjaran sebanyak RM800,000.

Ketika ini, pasukan yang menghuni posisi kesembilan itu adalah Negeri Sembilan FC kendalian K. Devan dengan pungutan 24 mata.

Pada masa yang sama, Perak FC yang berada di posisi kesebelas turut mengejar Penang dengan hanya perbezaan satu mata iaitu 22 mata – posisi yang akan memberikan ganjaran sebanyak RM700,000.

Bagaimanapun, untuk merebut posisi kesembilan, Penang bakal berhadapan dua baki perlawanan liga yang agak sukar iaitu bertemu finalis Piala Malaysia, Terengganu FC dan akhir sekali juara musim 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 3 dan 16 Disember masing-masing.

Sementara itu, Negeri Sembilan pula dilihat mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mempertahankan posisi kesembilan dimana mereka akan bertemu pasukan ketiga tercorot, Kelantan United FC dan Kuching City FC pada 1 dan 17 Disember masing-masing.

Sementara itu, Perak bimbingan Yusri Che Lah pula akan berhadapan Sabah FC dan Terengganu FC pada 3 dan 17 Disember masing-masing.

Featured Image: Penang Football Club

komen