Terengganu FC Ikat Penaja Baharu Bernilai RM250,000 Hadapi Musim 2024-25
November 27, 2023 Hafizuddin Omar

Finalis Piala Malaysia 2023, Terengganu FC nampaknya telah memulakan kerja-kerja untuk memantapkan kewangannya bagi menghadapi saingan bola sepak musim hadapan, musim 2024-25.

Perkara itu dilakukan Terengganu dengan mengumumkan menandatangani dan menerima penajaan baharu bersama jenama Estiflex keluaran Estetika Medispa Sdn Bhd yang bernilai RM250,000 semalam.

Hasil penajaan itu, Etiflex menempatkan diri sebagai “Penaja Silver” bagi Terengganu sekaligus akan meletakkan jenama tersebut pada ruangan jersi dan aset penajaan yang lain bersama penaja-penaja utama yang lain.

Terengganu Football Club sentiasa komited dalam memastikan kelab ini mempunyai projeksi awal bagi mengharungi musim yang akan datang yang dijangka bakal hadir lebih mencabar.”

“Oleh yang demikian kelab ini sentiasa menyambut baik syarikat-syarikat yang berminat menjalinkan kerjasama dan sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik sebagai pulangan buat rakan penaja.”

“Diharapkan kerjasama ini dapat memberikan keuntungan buat kedua-dua pihak seterusnya memberikan kelebihan buat keseluruhan keluarga besar Terengganu FC.” tulis kenyataan kelab.

Untuk makluman semua, Estiflex – produk krim pengkhususan untuk terapi otot dan sendi – dikeluarkan khusus bersempena dengan kerjasama strategik bersama Terengganu bimbingan Tomislav Steinbruckner.

Ianya diyakini dapat membantu untuk mengurangkan dan melegakan sakit-sakit dan sengal badan akibat aktiviti fizikal terutama bagi barisan ahli sukan yang banyak melibatkan penggunaan fizikal dalam aktiviti harian mereka. 

Menurut pencerahan oleh pihak Terengganu, antara kelebihan produk Estiflex ini adalah tidak melekit dan cepat meresap untuk memberi kesan kelegaan otot dan sendi buat pengguna dengan lebih pantas.

Produk ini dijangka bakal dilancarkan pada bulan hadapan dan bakal menemui para peminat dan pada Januari 2024.

Sebagai tambahan, kontrak penajaan ditandatangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd Sabri Abbas dan Ketua Pegawai Operasi, Mohd Syahrizan Mohd Zain mewakili Terengganu FC manakala Pengarah Urusan, Dr. Abdul Haq Ab Wasa dan Pengurus Besar, Mohd Lutfi Syahmi Shafee mewakili Estetika Medispa. 

Featured Image: Terengganu FC

Komen