Seramai 20 pengadil dan 21 penolong pengadil serta 14 “replay operator” tempatan menyertai Latihan video bantuan pengadil (VAR) fasa ketiga sebagai persediaan untuk mepraktikannya dalam saingan Liga Malaysia pada musim akan datang.
Bagi fasa ini, sesi latihan tersebut menumpukan kepada perlawanan praktikal yang dijalankan di Padang Wisma FAM, Wisma FAM, Kelana Jaya. Ianya telah bermula sejak 20 November dan akan tamat pada 4 Disember kelak.
Sebanyak lima kamera digunakan dalam Latihan VAR pada perlawanan praktikal melibatkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tersebut dan ianya menepati kriteria yang ditetapkan oleh FIFA.
Untuk makluman, Latihan VAR kali ini dikendalikan oleh enam instruktur FAM diketuai oleh C. Ravichandran, Kassim Kadir Bacha, Abdul Basith Shahul Hamid, Nagor Amir Noor Mohamed, Mohd Sabri Mat Daud dan M. Sivanesan.
Difahamkan, kesemua instruktur ini melakukan pemantauan dengan pengiktirafan dari FIFA.
Manakala bermula 29 November hingga 4 Disember 2023 kelak, latihan VAR fasa ketiga ini akan disertai oleh seorang instruktur VAR FIFA, Igor Radojcic dari Serbia.
Sesi latihan yang menumpukan perlawanan praktikal ini turut ditinjau oleh Presiden Malaysian Football League (MFL) Dato’ Ab Ghani Hassan yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Dato’ S. Sivasundaram dan Ketua Projek VAR, C. Ravichandran.
MFL menjelaskan, latihan fasa ini adalah sangat penting kerana ianya memberi pendedahan terhadap penggunaan teknologi VAR dalam perlawanan.
Sebagai tambahan, semua rakaman video yang melibatkan setiap Pengadil, Penolong Pengadil dan ‘Replay Operator’ pada sesi latihan wajib di hantar ke FIFA melalui platform Implementation Assistance and Approval Programme Requirements (IAAP).
Terdahulu, latihan VAR fasa kedua telah dijalankan dari 26 Ogos hingga 11 September lalu.
Featured Image: MFL