Konsert Hrithik Roshan Di SNBJ Seminggu Sebelum Final Piala Malaysia Ditangguhkan
November 27, 2023 Hafizuddin Omar

Konsert Stars On Fire Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 1 Disember – seminggu sebelum berlangsungnya perlawanan akhir Piala Malaysia – ditangguhkan.

Penganjur memaklumkan acara persembahan yang dibarisi pelakon dan artis Bollywood seperti Hrithik Roshan, Vaani Kapoor, Prabhu Deva, Malaika Arora, Sanya Malhotra dan beberapa lagi ditangguhkan atas alasan keadaan yang tidak dapat dielakkan.

Pemakluman penangguhan itu dikongsikan menerusi laman media sosial penganjur, Yess Boss Group selepas mendapat persetujuan dan membuat pertimbangan bersama kalangan penganjur lain iaitu Dembi Productions serta Heart Art Production Pvt Ltd.

Sementara itu, pihak penganjur sedang mengusahakan untuk menetapkan tarikh baharu konsert tersebut bersama barisan artis yang terlibat.

https://www.instagram.com/p/C0JIOwZOt3D/?igshid=ZWI2YzEzYmMxYg==

Pada masa yang sama, susulan penangguhan konsert ini, pihak penganjur telah menyusun proses pemulangan wang dengan kerjasama ejen tiketnya.

Beberapa hari lalu, keadaan padang SNBJ yang baru sahaja ditanam dengan rumput jenis zeon zoysia tampak kekuningan serta kering selepas selesainya konsert membabitkan kumpulan rock antarabangsa, Coldplay.

Keadaan rumput tersebut dikongsikan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi akaun media sosial peribadinya dan ianya segera meraih perhatian orang ramai termasuk peminat bola sepak tanah air.

Untuk makluman, kos penukaran rumput daripada jenis “cow grass” kepada zeon zoysia di padang SNBJ terbabit ditaja oleh TMJ.

Sebagai tambahan, perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim ini pula akan menemukan JDT dan Terengganu FC pada 8hb Disember (Khamis) di SNBJ.

View this post on Instagram

A post shared by Malaysian Football League (@mfl_my)



Komen