Kelab yang menghuni tangga kedua Liga 1 Indonesia, Persib Bandung secara rasminya mengumumkan kehadiran penjaga gol baharunya, Kevin Ray Mendoza – bekas penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City).
Pemain berdarah campuran Denmark-Filipina yang berusia 29 tahun ini diperkenalkan menerusi hantaran di pelbagai platform media sosial milik Persib bersertakan kapsyen “Wilujeng Sumping” yang bermaksud selamat datang.
Menariknya, Kevin akan bergabung semula dengan bekas ketua jurulatihnya iaitu Bojan Hodak yang terlebih dahulu menyertai Persib sekitar penghujung Julai lalu.
View this post on Instagram
Pada Ahad lalu, KL City telah mengumumkan Kevin akan meninggalkan skuad The City Boys selepas tiga tahun bersama sejak menyertainya pada tahun 2021.
Sepanjang tempoh itu, Kevin telah tampil sebanyak 80 kali dan merekodkan 26 perlawanan tanpa bolos serta menyumbangkan kejuaraan Piala Malaysia 2021.
Selain itu, kecekapan dan ketangkasan Kevin di hadapan gawang turut membantu KL City mara ke dua lagi pentas perlawanan akhir iaitu Piala AFC 2022 dan Piala FA 2023.
Untuk makluman semua, Persib kini menghuni ranking kedua liga selepas mengharungi 20 perlawanan – mengumpul 38 mata – hasil daripada mencetak 10 kemenangan dan lapan keputusan seri.
Featured Image: PERSIB