Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (Kedah), Nafuzi Zain merasakan Selangor FC mempunyai sedikit kelebihan untuk muncul naib juara Liga Super sekaligus membolot slot ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL) berbanding pasukan kendaliannya yang berjulukan Sang Kenari.
Ini berikutan Selangor bimbingan Tan Cheng Hoe sedang menghuni tangga kedua Liga Super dengan pungutan 55 mata – berkelebihan dua mata – berbanding Kedah di tangga ketiga yang mengumpul 53 mata.
Gelaran naib juara serta slot ke ACL2 tersebut akan menjadi milik mutlak Selangor sekiranya Kedah gagal mencatatkan sekurang-kurang keputusan seri pada perlawanan seterusnya yang dijadualkan pada 2hb Disember (Sabtu) di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
“Saya rasa itu adalah titik penentu untuk musim ini (bagi) tempat kedua, jikalau kita menang dengan Selangor dan perlawanan terakhirlah yang akan menentukan keputusan itu, belum tentu confirm (sah) lagilah (tempat kedua selepas menang dengan Selangor),
“Untuk situasi ini, saya rasa Selangor mungkin ada advantage (kelebihan) sikitlah berbanding dengan pasukan kita (Kedah),” katanya dalam sidang media selepas mencatatkan kemenangan besar 6-1 ke atas Kelantan FC, baru-baru ini.
People say, it’s #LigaSuper2023 battle of the season, be part of the history.
25k strong, hold your ground!https://t.co/K4494mIY76
#LigaSuper2023 #LS25 #KDASEL #25Kstrong #standyourground pic.twitter.com/QQd6YYrxok
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) November 27, 2023
Bagaimanapun, perkara itu tidak membuatkan skuad bimbingan Nafuzi mengalah awal untuk memburu gelaran naib juara serta slot ke saingan ACL2 tersebut.
Pada ketika ini, Kedah berada dalam prestasi terbaik dengan melakar enam perlawanan tanpa kalah dalam saingan liga.
Justeru jurulatih berusia 45 tahun ini menuntut anak-anak buahnya meneruskan konsistensi tersebut selain memberikan segala-galanya pada perlawanan menentang Selangor itu.
Hal ini kerana slot ke saingan ACL2 turut menjadi sasaran utama Kedah bimbingan Nafuzi pada musim ini.
“Saya rasa berdasarkan prestasi sebelum ini, kita telah (melalui) enam perlawanan tanpa kalah dan kita harus konsisten untuk dua perlawanan terakhir sahaja lagi,”
“Kita kena bagi all out penting untuk kita ke (saingan) AFC,”
“Ada peluang (ke saingan AFC), kalau kita menang sekarang ni based on atas diri kita je, atas diri kita, kalau kita menang dua perlawanan (akhir) kita layak, itu sahaja, sifirnya senang sahaja,”
“Semua bergantung kepada diri kita sendirilah,” tambahnya lagi.
Untuk makluman, selain meraih slot ke ACL2, pasukan yang menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga kedua akan meraih wang ganjaran bernilai RM1.9 juta berbanding pasukan di tangga ketiga, RM1.5 juta.
Featured Image: Kedah Darul Aman FC