Situasi pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung, Kelantan FC yang berada di tangga tercorot Liga Super serta beberapa masalah di luar padang bukan sahaja mengundang kesedihan dan kekecewaan para penyokong dan bekas pemain seperti Badhri Radzi atau Piya.
Keadaan itu turut mendapat perhatian bekas ketua jurulatih skuad berjulukan The Red Warriors (TRW) tersebut pada musim 2016, Velizar Popov.
Menerusi hantaran di akaun Instagram peribadinya beberapa hari lalu, jurulatih berasal dari Bulgaria itu tidak dapat menyembunyikan kesedihan yang menimpa kelab yang dianggapnya sebagai salah satu yang terbesar dalam negara ini.
Pada masa yang sama, Popov turut menganggap perkara-perkara yang dijalankan oleh individu yang mengemudi Kelantan pada ketika ini sebagai sesuatu yang memalukan.
“Pada 2016, bermula daripada zon penyingkiran, kami tamatkan musim dalam kelompok empat terbaik,”
“Sekarang, ianya sangat menyedihkan dan memalukan apa yang dilakukan oleh orang-orang ini terhadap salah satu kelab terbesar dalam bola sepak Malaysia.” katanya menerusi Instagram Story pada Sabtu lalu.
Sebagai rekod, jurulatih berusia 47 tahun pada ketika ini dilantik sebagai pengendali Kelantan pada pertengahan Mei 2016 menggantikan K. Devan.
Pada ketika itu, skuad Kelantan masih berada di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang dipimpin oleh Tan Sri Annuar Musa.
Popov berhasil membimbing Kelantan menamatkan musim tersebut di tempat keempat namun menolak untuk melanjutkan kontrak bagi mengemudi skuad TRW pada musim 2017 berikutan tiada jaminan kewangan.
Selepas itu, Popov berkelana ke Thailand (Sisaket FC) serta Oman (Sur SC) sebelum menerima jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan Myanmar bawah 23 tahun (B-23) dari 2019 hingga 2022.
Pada saat ini, Popov berperanan sebagai ketua jurulatih Dong A Thanh Hoa FC yang beraksi dalam kancah bola sepak Vietnam.
Featured Image: TRWFC