Yazan Al-Arab Ke Iraq Selepas Digantung Seumur Hidup Oleh FAM
November 28, 2023 Hafizuddin Omar

Bekas pertahanan Selangor FC, Yazan Al Arab yang dikenakan hukuman gantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini beraksi bersama sebuah kelab berpangkalan di bumi Iraq.

Khidmat pemain berusia 27 yang juga merupakan pertahanan skuad kebangsaan Jordan kini menjadi milik Al-Shorta SC Iraqi Police Club merangkap juara bertahan Liga Bintang Iraq (Iraq Stars League).

Kemasukan Yazan diumumkan oleh Al-Shorta menerusi pelbagai platform media sosialnya dua hari selepas FAM menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Yazan tidak menunggu lama untuk beraksi bersama skuad Al-Qithara tersebut apabila disenaraikan dalam kesebelasan utama pada perlawanan menentang Al Quwa Al Jawiya pada aksi kelima liga, sehari kemudiannya.

Dalam perlawanan itu, kelibat Yazan membantu pasukannya mengikat Al Quwa Al Jawiya dengan keputusan 2-2 dan kini menghuni tangga ketiga liga hasil mengumpul sepuluh mata – tiga mata berbeza dengan pendahulu, Al Quwa Al Jawiya.

Untuk makluman, Yazan digantung daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak di Malaysia oleh FAM selepas secara agresif menyerang, menyepak dan meludah pengadil perlawanan setelah menerima kad merah ketika perlawanan melibatkan Selangor FC dan Terengganu FC pada 24 September lalu.

Namun begitu, sebelum Yazan dijatuhkan hukuman terbabit, majikannya, Selangor terlebih dahulu bertindak menamatkan kontraknya (3hb Oktober) berkuat kuasa serta-merta selepas membuat siasatan dalaman.

Featured Image: Al-Shorta SC

Komen