Ranking BWF: Zii Jia Kembali Sertai Kelompok ‘Top 10’ Dunia
November 28, 2023 Hafizuddin Omar

Jaguh badminton perseorangan lelaki tanah air, Lee Zii Jia kembali menyertai kelompok 10 pemain terbaik dunia – julung kalinya selepas hampir enam bulan.

Kemasukan semula Zii Jia, 25 tahun, dalam kelompok itu diperlihatkan setelah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini Ranking Dunia pada hari ini.

Kemaskini itu menyaksikan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah ini meningkat satu anak tangga setelah mengumpul 68,226 mata daripada 10 kejohanan terbaiknya dalam tempoh 52 minggu yang sudah.

Untuk makluman, kemaraan Zii Jia ke peringkat suku akhir China Masters pada minggu lalu memberikannya 6,050 mata turut menyumbang kepada pengiraan mata sekaligus meningkatkan ranking-nya.

Sebagai rekod, kali terakhir Zii Jia berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia adalah pada kemaskini bertarikh 6 Jun lalu sebelum jatuh ke kedudukan kesebelas pada minggu berikutnya, 13 Jun.

Sementara itu, skrip berbeza menimpa pemain badminton lelaki No.2 tanah air, Ng Tze Yong apabila dilihat mengalami penurunan satu anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-15 dunia dengan pungutan 59,840 mata. 

Featured Image: Australian Badminton Open

Komen