Artikel

Ranking BWF: Aaron-Wooi Yik Jatuh Satu Tangga, Dipintas Beregu India

Kedudukan beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dalam Ranking Dunia jatuh satu anak tangga pada minggu ini.

Perkembangan itu hadir setelah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini pada hari ini yang menyaksikan Aaron-Wooi Yik kini menghuni tangga ketiga Ranking Dunia dengan pungutan 88,164 mata.

Aaron-Wooi Yik jatuh ke kedudukan tersebut ekoran dipintas oleh beregu India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty yang mengumpul 90,761 mata.

Sebagai rekod, Satwiksairaj-Chirag menghuni ranking kelima dunia pada minggu lalu.

Bagaimanapun kemaraan mereka ke perlawanan akhir China Masters – Jelajah Dunia BWF Super 750 – pada Ahad lalu telah menghadiahkan mereka 9,350 mata sekaligus mencetuskan lonjakan ketara dalam kemaskini ranking pada minggu ini.

Sementara itu, tiada perubahan melibatkan kedudukan beregu lelaki No.2 negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi dimana mereka kekal di tangga kesebelas dunia.

Manakala beregu lelaki No.3 negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun pula meningkat sebanyak satu anak tangga dan kini menduduki tangga ke-19 dunia.

Akhir sekali, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang merupakan beregu lelaki No.4 negara merekodkan kejatuhan sebanyak satu anak tangga dan kini berada di tangga ke-26 dunia.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen