ACL 2023-24: Kriteria ‘Head-to-Head’ Tutup Pintu Buat JDT Ke Pusingan 16
November 28, 2023 Hafizuddin Omar

Kempen kelab bola sepak gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023-24 nampaknya berakhir setakat peringkat Kumpulan I.

Biarpun masih berbaki satu lagi perlawanan, peluang JDT untuk mara ke peringkat kalah mati atau Pusingan 16 tertutup rapat setelah tumpas di tangan pasukan yang menghuni tangga kesembilan Liga Jepun, Kawasaki Frontale, sebentar tadi. 

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Olahraga Todoroki menyaksikan JDT bimbingan Esteban Solari tumpas dengan jaringan besar tanpa balas iaitu 0-5 hasil jaringan Akihiro Ienaga (8’), Leandro Damiao (50’), Marcinho (60’), Yu Kobayashi (69’) dan Miki Yamane (88’).

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan berasingan melibatkan Kumpulan I, Ulsan Hyundai berjaya melakar kemenangan ke atas BG Pathum United dengan keputusan 3-1.

Situasi ini menjadikan Kawasaki mengungguli Kumpulan I dengan mengutip 15 mata maksimum daripada lima perlawanan sekaligus melayakkan diri ke saingan kalah mati secara automatik.

Ulsan dari Republik Korea pula menghuni tangga kedua Kumpulan I dengan kutipan 9 mata hasil melakar tiga kemenangan.

Manakala JDT yang mempunyai enam mata pula menghuni tangga ketiga dan BG Pathum United tanpa sebarang pungutan mata menduduki tempat tercorot Kumpulan I. 

Untuk makluman, peluang JDT untuk mara ke pusingan berikutnya tertutup berdasarkan kariteria “head-to-head” di dalam Peraturan Pertandingan – Liga Juara-Juara AFC 2023-24.

Jika senario ini berlaku, Ulsan tumpas 0-1 di tangan Kawasaki serta JDT pula meraih kemenangan besar 7-0 ke atas BG Pathum United pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, kedua-duanya akan berkongsi 9 mata masing-masing.

Di waktu yang sama, JDT akan mempunyai catatan perbezaan gol +2 melebihi Ulsan yang mempunyai +1 namun JDT tetap berada di tangga ketiga Kumpulan I.

Ini berikutan, kriteria “head-to-head” akan digunapakai untuk menentukan pasukan yang akan berada di atas atau dibawah.

Peraturan pertama di dalam kriteria itu menyebut, sekiranya terdapat dua atau lebih pasukan yang berkongsi mata maka jumlah mata yang dipungut ketika kedua-dua pasukan tersebut berentap sesama sendiri akan diambil kira.

Seperti kita sedia maklum, Ulsan berjaya menumpaskan JDT 3-1 di lamannya sendiri pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan, manakala, JDT pula berjaya mengalahkan Ulsan 2-1 juga di lamannya sendiri pada perlawanan keempat peringkat kumpulan.

Kedua-dua keputusan tersebut menjadikan Ulsan dan JDT masing-masing meraih 3 mata dan persoalan mengenai pasukan yang berada di atas mahupun di bawah masih tergantung.

Memandangkan masih tiada yang memisahkan kedua-dua pasukan, maka, peraturan kedua “head-to-head” akan diambil kira iaitu jumlah perbezaan gol melibatkan perlawanan kedua-dua pasukan tersebut.

Hasil keputusan perlawanan yang berlangsung di home dan away bagi kedua-dua pasukan di atas menyaksikan Ulsan mempunyai perbezaan gol +1 sementara JDT pula adalah -1.

Berdasarkan peraturan kedua “head-to-head” ini maka Ulsan yang mempunyai jumlah perbezaan gol yang lebih banyak akan tetap dipilih untuk berada di atas JDT sekaligus mengisi posisi naib juara Kumpulan I.

Kedudukan itu memungkinkan Ulsan tergolong dalam kalangan tiga naib juara terbaik zon timur sekaligus mengiringi Kawasaki ke Pusingan 16.

Pada masa yang sama, JDT terpaksa akur menamatkan kempen saingan musim ini di tangga ketiga Kumpulan I dan gagal mengulangi kemaraan ke Pusingan 16 sepertimana musim lalu.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen