Syed Modi 2023: Dua Beregu Campuran Negara Kandas Hari Pertama
November 29, 2023 Hafizuddin Omar

Hari pertama Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi India 2023 menyaksikan dua beregu campuran negara terkandas awal sekaligus terpaksa akur tersingkir seawal pusingan 32.

Gandingan negara yang berada di ranking ke-41 dunia, Chan Peng Soon dan Cheah Yee See menjadi pasangan yang pertama mengalami situasi berkenaan ketika bertemu wakil tuan rumah, Rohan Kapoor dan Ashwini Ponnappa semalam.

Pertarungan itu berkesudahan dengan Peng Soon-Yee See tumpas secara “straight set” menerusi skor 12-21 dan 18-21 dalam tempoh 38 minit permainan di tangan pasangan yang baru sahaja bergandingan terbabit.

Sementara itu, sepasang lagi beregu negara yang mengalami nasib yang sama ialah Choong Hon Jian dan Go Pei Kee yang menduduki ranking ke-55 dunia.

Hong Jian-Pei Kee yang bertemu wakil Jepun yang berada di ranking ke-24 dunia, Yuki Kaneko dan Misaki Matsutomo turut sama tumpas secara “straight set” menerusi skor 17-21 dan 13-21 dalam tempoh masa 32 minit permainan.

Bagaimanapun, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin yang menjuarai Cabaran Antarabangsa Malaysia sekitar sebulan yang lalu berhasil melakar keputusan yang positif pada pusingan 32.

Ianya hasil daripada Pang Ron-Su Yin mengejutkan beregu Jepun yang menghuni ranking ke-13 dunia, Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito.

Pang Ron-Su Yin yang berada di ranking ke-175 dunia berjaya menumpaskan mereka secara “straight set” menerusi skor 21-11 dan 25-23 dalam tempoh 38 minit permainan sekaligus memacu mereka ke pusingan 16. 

Di peringkat tersebut, Pang Ron-Su Yin akan bertemu salah satu daripada wakil tuan rumah samada Kona Tarun-Sri Krishna Priya Kudaravalli (ranking 167) atau Nitin Kumar-Navdha Manglam (ranking 266).

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen