Artikel

Kelantan Akan Bincang Dengan KBS Anjur SUKMA 2028 Patuh Syariah

Kerajaan Negeri Kelantan berhasrat untuk memastikan penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di negeri tersebut pada tahun 2028 dalam keadaan patuh syariah.

Bagi merealisasikan perkara berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, YB Zamakhshari Muhamad memaklumkan pihaknya akan melakukan perbincangan serta rundingan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN). 

Pada masa yang sama, pihaknya turut melakukan perbincangan awal dengan MSN Negeri.

“Sebagaimana yang kita tahu ada beberapa acara yang agak sensitif, sebagaimana renang, gimrama dan sebagainya,”

“Saya telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak MSN negeri dan Insya-Allah kita akan mengadakan perbincangan dan rundingan dengan Kementerian dan juga MSN pusat bagi melihat ruang-ruang untuk kita memastikan agar acara SUKMA nanti dapat memenuhi atau patuh syariah,” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada ADUN Gaal, YB Mohd Rodzi Ja’afar dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Tambah Zamakhsahari atau turut dikenali dengan panggilan Abe Zam, beliau memerlukan sokongan serta kerjasama daripada semua ADUN bagi memastikan pematuhan syariah pada SUKMA 2028.

Sementara itu, Zamakhshari mewakili pihak kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat atas saluran peruntukan sebanyak RM276 juta untuk membina fasiliti-fasiliti yang akan digunakan pada temasya SUKMA 2018.

Peruntukan itu dimanfaatkan untuk membina enam fasiliti sukan di Kompleks Sukan Bukit Merbau dan sebuah pusat akuatik di Madinah As-Salam, Tunjong, Kota Bharu.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sejumlah RM164.35 juta untuk menampung kos pengambilan tanah, kerja-kerja awalan tanah dan penyediaan infrastruktur Kompleks Sukan Bukit Merbau dan pusat akuatik.

Kesemua pembangunan fasiliti-fasiliti itu dijangka siap sepenuhnya pertengahan 2026 sebagai persiapan awal untuk penganjuran SUKMA 2028.

Featured Image: Facebook Zamakhshari Muhamad Official

komen