Syed Modi 2023: Justin Hoh Kejutkan Pemain No.3 Negara
November 29, 2023 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki remaja negara, Justin Hoh yang kembali buat julung kalinya selepas berehat panjang ekoran kecederaan dengan melakar kejutan ke atas Leong Jun Hao – pemain No.3 negara – pada  pusingan 32 Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi India 2023.

Justin yang berusia 19 tahun turut menyerikan lagi kepulangannya ke arena badminton antarabangsa dengan melakar kemenangan tersebut secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-17 ke atas pemain yang berada di ranking ke-38 dunia itu.

Menariknya, ini merupakan kali kedua Justin berhasil menumpaskan seniornya di dalam kejohanan antarabangsa selepas julung kali melakukan perkara yang sama di Cabaran Antarabangsa Malaysia 2022.

Pertarungan yang berlangsung pada penghujung tahun lalu itu turut berakhir dengan Justin melakar kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-11 dan 21-16.

Sementara itu, hasil kemenangan pada hari ini, Justin yang menghuni ranking ke-97 dunia dapat meneruskan kemaraan ke pusingan 16 dalam saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300 ini.

Menantinya di peringkat tersebut adalah pemain No.6 Indonesia, Alwi Farhan yang mara setelah menumpaskan seorang lagi pemain negara yang berada di ranking ke-89 dunia, Aidil Sholeh.

Untuk pengetahuan semua, Justin terpaksa berehat panjang sebelum ini ekoran mengalami kecederaan putus tendon achiles di kaki kirinya ketika sesi latihan sekitar awal April lalu.

Susulan kecederaan tersebut, Justin terpaksa menjalani pembedahan dan terlepas peluang untuk beraksi dalam temasya Sukan SEA 2023 yang berlangsung di Kemboja.

Sebelum mengalami kecederaan terbabit, Justin dilihat berada dalam prestasi terbaiknya apabila berjaya merangkul kejuaraan di Cabaran Antarabangsa Uganda 2023, muncul naib juara Cabaran Antarabangsa Fajr Iran serta mara sebanyak dua ke peringkat separuh akhir daripada enam kejohanan yang disertainya.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen