Syed Modi 2023: Selepas Lima Bulan, June Wei Jejak Pusingan 16
November 29, 2023 Hafizuddin Omar

Perseorangan badminton lelaki bebas (independent) negara, Cheam June Wei mengalami satu tempoh yang sukar dalam kariernya apabila gagal melakar kemaraan ke pusingan 16 dalam kesemua kejohanan yang disertainya sejak awal Julai lalu. 

Namun begitu, pemain berusia 26 tahun ini berjaya menamatkan “sumpahan” tersebut apabila berhasil mengalahkan pemain Indonesia yang menghuni ranking ke-53 dunia, Shesar Hiren Rhustavito pada pusingan 32 di Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi India 2023.

Pertarungan yang berlangsung sebentar tadi itu menyaksikan June Wei berhasil mengatasi Rhustavito menerusi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 23-21, 15-21 dan 21-9 dalam tempoh permainan yang berlangsung mendekati satu jam lamanya.

Keputusan pada hari ini turut diserikan dengan rekod julung kalinya June Wei melakar kemenangan ke atas Rhustavito daripada tiga pertemuan di pentas antarabangsa secara keseluruhan.

Sementara itu, di pusingan 16 kelak, June Wei akan berhadapan pemain Chinese Taipei, Chi Yu-Jen yang berada di ranking ke-48 dunia untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.

Untuk makluman, Yu-Jen mengesahkan tempat ke pusingan 16 selepas berhasil mengatasi pemain Singapura, Jason Teh Jia Heng secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-16.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen