Piala AFC: Terengganu Kekal Rekod Tanpa Kalah Di Bumi Kanggaru
November 29, 2023 Hafizuddin Omar

Rekod tanpa kalah pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung, Terengganu FC dalam saingan Piala AFC kekal bertahan setakat ini.

Terengganu bimbingan Tomislav Steinbruckner berhasil mempertahankan rekod tersebut apabila menamatkan perlawanan kelima peringkat Kumpulan G bertemu Central Coast Mariners dengan keputusan 1-1.

Perlawanan yang berlangsung di negara yang terkenal sebagai habitat kanggaru itu bermula dengan Terengganu terlebih dahulu mendahului menerusi gol oleh Engku Nur Shakir pada minit ke-53.

Tatakala Terengganu dilihat dapat menyudahkan perlawanan ini dengan kemenangan, pemain gantian, Miguel Di Pizio tampil menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-87 sekaligus mengikat pasukan pelawat sehingga pengadil, Ammar Ebrahim meniup wisel menamatkan permainan.

Keputusan tersebut menjadikan Terengganu kekal di tangga kedua Kumpulan G dengan kutipan sembilan mata manakala Central Coast Mariners mengunggulinya dengan sepuluh mata.

Perlawanan seterusnya merangkap yang terakhir bagi peringkat Kumpulan G, Terengganu akan berhadapan dengan Bali United di tempat sendiri pada 13 Disember kelak.

Featured Image: AFC Cup

Komen