Artikel

KBS Sedia Bincang Isu SUKMA 2028 Patuh Syariah – Hannah Yeoh

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia duduk semeja untuk berbincang mengenai hasrat kerajaan negeri Kelantan selaku tuan rumah untuk menganjurkan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 secara patuh syariah terutamanya melibatkan pemakaian para atlet yang menyertainya.

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh memberikan jaminan terhadap perkara tersebut. Pada masa yang sama, Hannah berkata pihaknya belum menerima sebarang makluman daripada pihak kerajaan negeri untuk berbincang mengenai perkara tersebut setakat ini.

Namun demikian, Hannah menegaskan pihaknya mahu memberikan tumpuan kepada penganjuran SUKMA 2024 di Sarawak terlebih serta usaha untuk melaksanakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terhadap para atlet dalam Program Podium pada Januari nanti.

“Saya percaya negeri Kelantan ada pemikiran mereka tetapi kerajaan persekutuan kita juga ada pemikiran kita sendiri,” 

“Isu ini dibangkitkan bukan dalam mesyuarat kita, isu ini dibangkitkan dalam (persidangan) DUN mereka, jadi untuk kita, masih belum terima apa-apa lagi daripada Exco Negeri Kelantan, mereka baru mendapat seorang Exco baharu, so kita tunggu dalam mesyuarat nanti,” katanya ketika ditemui para wartawan, semalam.

Pada Isnin lalu, Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan iaitu YB Zamakhshari Muhamad memaklumkan adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk menganjurkan SUKMA 2028 dalam keadaan patuh syariah.

Bagi merealisasikan perkara berkenaan, Zamakhshari telah mengadakan perbincangan awal bersama Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri selain mahu berbincang serta berunding bersama KBS dan MSN Malaysia untuk melihat ruang-ruang boleh dilakukan.

Untuk makluman, Zamakhshari menyatakan perkara berkenaan ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal, YB Mohd Rodzi Ja’afar yang bertanyakan hal tersebut dalam sidang DUN Kelantan.

Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia

komen