“Kalau Suzuki takde, kita pakai Kawasaki, so (jadi) Kawasaki akan main dulu, Suzuki masuk kemudian,” jawab ketua jurulatih PDRM FC, Dato’ Yunus Alif secara berseloroh apabila ditanya mengenai keputusan untuk memasukkan Bruno Suzuki sebagai pemain gantian dalam perlawanan akhir 1 Challenge Cup 2023 di Stadium MBPJ.
Jurulatih berusia 65 tahun terbabit menjelaskan skuad berjulukan The Cops bimbingannya mempunyai pilihan pemain yang seimbang untuk mengisi barisan serangan.
Oleh demikian, keputusan untuk meletakkan penyerang import veteran, Uche Agba dalam kesebelasan utama menentang Kuching City FC semalam dan memasukkan Bruno sebagai pemain gantian adalah berdasarkan pemilihan taktikal.
Yunus yang mengemudi PDRM bermula awal Ogos lalu turut menjelaskan Bruno merupakan pemain yang memiliki kemampuan untuk memegang bola serta mampu memasuki ruang antara dua pemain sekaligus menembusi barisan pertahanan lawan.
Sementara itu, Uche yang berusia 37 tahun mempunyai pergerakan yang sedikit perlahan namun pengalaman kaya pemain kelahiran Nigeria itu menjadi taruhan Yunus dalam perlawanan menentang skuad berjulukan The Cats kendalian Aidil Sharin Sahak, semalam.
“(Uche) …tahu bila nak ambil peluang yang terhidang, dia ada kemahiran tu, dia pressure, pressure dan burst, produce goal (hasilkan gol),” tambahnya.
Mengulas mengenai keputusan perlawanan pada malam tadi, Yunus sama sekali tidak menjangka skuadnya mampu mencatatkan kemenangan 3-0 hasil jaringan Nabil Ahmad Latpi (53’), Uche Agba (69’) dan Amir Saiful Badeli (78’).
“Saya expect (jangka) 2-0, itu sahajalah jangkaan saya tapi tak tepat juga, tapi diorang go stretch more, diorang dapat extra (gol), itu perkara yang bagus untuk mereka,” katanya.
Untuk perlawanan akhir timbal balik Challenge Cup 2023, PDRM akan bertandang ke laman rasmi milik Kuching Citu iaitu Stadium Negeri, Sarawak pada 3hb Disember (Ahad) dengan sepak mula dijadualkan pada jam 8.15 malam.
Featured Image: PDRM Football Club