Skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya merekodkan peningkatan mendadak dalam Ranking Dunia sementara seteru terdekat Thailand mengalami penurunan.
Kemaskini oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) pada hari ini memperlihatkan Harimau Malaya mencatatkan kenaikan sebanyak tujuh anak tangga – mengesahkan kiraan tidak rasmi oleh para penyokong sebelum ini.
Kenaikan itu menjadikan Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon kini menghuni ranking ke-130 dunia selepas mengumpul 1,122.87 mata secara keseluruhan.
Seperti ramai jangkakan, kenaikan mendadak itu hasil kejayaan Harimau Malaya melakar keputusan 4-3 ke atas Republik Kyrgyzstan serta kemenangan tipis 1-0 ketika bertemu Chinese Taipei pada 16 dan 21 November lalu.
Sementara itu, tinjauan terhadap kemaskini Ranking Dunia itu memperlihatkan Vietnam yang kini di bawah bimbingan ketua jurulatih dari Perancis, Philippe Troussier kekal berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik serta kedudukannya pada ranking ke-94 kekal tidak berubah.
Pada masa yang sama, Thailand atau nama julukannya skuad Gajah yang baru sahaja melantik pengendali baharu, Masatada Ishii, turut mengalami kejatuhan sebanyak satu anak tangga dan berada di ranking ke-113.
Tujuh pasukan ASEAN lain turut sama mengalami penurunan dalam kemaskini FIFA pada hari dan kedudukan mereka adalah seperti berikut:
- Filipina, ranking 140 (-2)
- Indonesia, ranking 146 (-1)
- Singapura, ranking 156 (-1)
- Myanmar, ranking 161 (-3)
- Kemboja, ranking ke-179 (-1)
- Brunei, ranking 192 (-1)
- Laos, ranking 189 (-1)
Tidak boleh dikesampingkan, Australia yang juga merupakan anggota gabungan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pula merekodkan peningkatan sebanyak 2 anak tangga dan berada di ranking ke-25 pada ketika ini.
Manakala satu lagi anggota gabungan AFF iaitu Timor Leste berada di ranking ke-200 – menurun tiga anak tangga berbanding kedudukannya pada kemaskini yang lalu.
Untuk makluman semua, kemaskini Ranking Dunia oleh FIFA yang berikutnya ditetapkan pada 21 Disember 2023.
Featured Image: Football Association of Malaysia