Terengganu FC Tambah Senarai Penaja ‘Silver’ Untuk Hadapi Musim 2024-25
November 30, 2023 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung, Terengganu FC terus menggembleng usahanya memantapkan kewangan bagi menghadapi saingan bola sepak musim 2024-25 dengan mengikat satu lagi syarikat sebagai “Penaja Silver” baharunya.

Menariknya, ikatan baharu bersama syarikat ini hadir empat hari selepas Terengganu mengikat “Penaja Silver” baharu pertamanya iaitu Estiflex keluaran Estetika Medispa Sdn Bhd yang memberikan mereka nilai tajaan sebanyak RM250,000.

Menerusi perkongsian oleh pihak kelab terbabit, syarikat yang diikat skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu adalah AEON BiG Sdn Bhd yang mengendalikan 21 pasar raya besar dengan nama dagang “AEON BiG” di Malaysia.

Difahamkan, Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed melihat kesungguhan Terengganu untuk menjalinkan kerjasama strategik ini berjaya menarik minat AEON BiG untuk bekerjasama bagi musim akan datang.

Tambahnya lagi, AEON BiG sendiri sentiasa cuba untuk memberikan sumbangan dan sokongan bagi perkembangan sukan bola sepak di tanah air ini.

Bagaimanapun, tiada sebarang nilai serta tempoh penajaan yang spesifik dikongsikan oleh kedua-dua pihak samada Terengganu atau AEON BiG kepada umum.

Kontrak penajaan ini telah ditandatangani Sheikh Farouk mewakili AEON BiG manakala Terengganu diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Sabri Abbas sambil disaksikan oleh Ketua Pemasaran AEON BiG, Nazwan Effendy Choong dan Ketua Pegawai Operasi Terengganu FC, Syahrizan Mohd Zain.

Featured Image: Terengganu FC

Komen