Artikel

Piala AFC: Peluang ‘Unbeaten’ Terengganu Ke Peringkat Kalah Mati Terlalu Tipis

Skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner iaitu Terengganu FC menjadi salah satu daripada tiga pasukan yang belum mencatatkan sebarang kekalahan pada peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFC 2023-24.

Bagaimanapun, rekod kebal itu kelihatan hampir tidak bermakna apabila peluang mereka untuk mara ke peringkat kalah mati atau separuh akhir zon ASEAN terlalu tipis selepas mengharungi lima perlawanan.

Berdasarkan format pertandingan, hanya juara Kumpulan F, G dan H serta naib juara terbaik daripada ketiga-tiga kumpulan ini sahaja layak mara ke peringkat separuh akhir zon ASEAN terbabit.

Sepertimana ramai ketahui, Terengganu pada ketika ini mempunyai 9 mata dan berada di bawah Central Coast Mariners yang mengungguli Kumpulan G dengan pungutan 10 mata. Manakala Bali United dan Stallion Laguna pula menghuni tangga ketiga dan keempat dengan kutipan 7 dan 1 mata masing-masing.

Situasi pertama yang membolehkan mereka layak adalah dengan muncul juara Kumpulan G. 

Untuk menjadi juara, Terengganu wajib memenangi perlawanan terakhir menentang Bali United di halaman sendiri pada 13 Disember kelak disamping mengharapkan pasukan tercorot, Stallion Laguna FC mencatatkan keputusan seri atau mengalahkan pendahulu, Central Coast Mariners pada tarikh yang sama.

Untuk makluman semua, ketika bertemu pada 4 Oktober lalu, Stallion dimalukan oleh Central Coast Mariners dengan kekalahan besar 1-9 pada aksi kedua peringkat Kumpulan G.

Sekiranya gagal muncul juara Kumpulan G, situasi kedua yang membolehkan Terengganu layak ke pusingan kalah mati adalah dengan muncul naib juara terbaik merentasi ketiga-tiga Kumpulan F, G dan H.

Bagi merebut gelaran naib juara terbaik, Terengganu wajib memenangi perlawanan terakhirnya dengan keputusan sekurang-kurangnya 7-0. Pada masa yang sama, Terengganu perlu mengharapkan pasukan tercorot Kumpulan F, Shan United menumpaskan pasukan di tangga keduanya, Phnom Penh Crown 1-0 pada perlawanan terakhir yang turut berlangsung pada 14 Disember.

Sebagai rekod, ketika bertemu pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan F, Shan United  tumpas dengan keputusan 0-4 di tangan Phnom Penh Crown.

Sementara itu, satu lagi wakil Malaysia di pentas Piala AFC iaitu Sabah FC bimbingan Datuk Ong Kim Swee telah mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati apabila muncul juara Kumpulan H selepas menumpaskan Hougang United FC, semalam.

Featured Image: Terengganu FC

komen