Syed Modi 2023: Pang Ron-Su Yin Julung Kali Ke Separuh Akhir Super 300
December 1, 2023 Hafizuddin Omar

Gandingan campuran baharu negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir pada salah satu siri kejohanan Jelajah Dunia BWF yang bertaraf Super 300.

Pasangan pemain berusia 25 dan 20 tahun masing-masing itu melakar kemaraan tersebut selepas mencetak kemenangan pada peringkat suku akhir di Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi India 2023, sebentar tadi.

Pertarungan di peringkat tersebut menemukannya dengan wakil Chinese Taipei yang berada di ranking ke-34 dunia, Chang Ko-chi dan Lee Chih Chen.

Biarpun lawannya itu menghuni ranking yang lebih tinggi, Pang Ron-Su Yin yang menduduki ranking ke-175 ternyata tidak mempunyai masalah untuk menundukkan pasangan itu secara “straight set” menerusi skor 23-21 dan 21-15 dalam tempoh masa tidak sampai 40 minit permainan.

Susulan kemaraan ini, Pang Ron-Su Yin sudah meraih sekurang-kurangnya 4,900 mata yang memungkinkan melonjakkannya dengan mendadak dalam Ranking Dunia pada kemaskini seterusnya pada Selasa kelak.

Sementara itu, di peringkat separuh akhir nanti, Pang Ron-Su Yin akan bertembung salah satu daripada beregu campuran dari negara matahari terbit samada Kyohei Yamashita dan Naru Shinoya (ranking ke-19) atau Yuki Kaneko dan Misaki Matsutomo (ranking ke-24) untuk merebut slot ke perlawanan akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen