Selangor Naib Juara Liga Super – Raih RM1.9 Juta, Slot ACL2
December 2, 2023 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC muncul naib juara Liga Super 2023.

Gelaran tersebut menjadi milik skuad berjulukan The Red Giants setelah berhasil melakar kemenangan 1-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (Kedah) pada aksi ke-25 liga di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Keputusan tersebut hadir menerusi jaringan tunggal oleh penyerang importnya, Ayron del Valle pada minit ke-64.

Kemenangan tipis pada malam ini sudah memadai buat skuad bimbingan Tan Cheng Hoe mengumpul 58 mata – jumlah mata yang tidak dapat dipotong lagi oleh Kedah selaku pencabar terdekatnya. 

Situasi itu sekaligus mengesahkan naib juara Liga Super buat Selangor dengan lebih awal biarpun saingan musim ini masih berbaki satu perlawanan lagi

Selaku naib juara Liga Super 2023, Selangor bimbingan Tan Cheng Hoe akan menerima wang ganjaran bernilai RM1.9 juta serta slot ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) bagi musim 2024-25.

Untuk rekod, ini merupakan kedudukan terbaik Selangor dalam saingan Liga Super selepas muncul naib juara liga super sembilan tahun yang lalu.

Sebagai tambahan, ini juga merupakan pencapaian terbaik Selangor sejak ianya dipimpin oleh DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Shah Alhaj merangkap Raja Muda Selangor (RMS) bermula sekitar tahun 2018.

Sementara itu, Selangor akan turun melengkapkan perlawanan terakhir Liga Super menentang PDRM FC di lamannya sendiri, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 17 Disember.

Featured Image: Selangor FC

Komen