Nafuzi Tumpu Pertahan No.3 Liga Super – Hadiah RM1.5 Juta
December 3, 2023 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (Kedah), Nafuzi Zain tidak meratapi dengan lama kekalahan 0-1 di tangan Selangor FC pada aksi ke-25 yang menyebabkan pasukannya terlepas peluang untuk bergelar naib juara Liga Super 2023.

Keputusan itu juga bermakna Kedah atau nama julukannya Sang Kenari turut terlepas slot ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2 ) dan wang ganjaran bernilai RM1.9 juta.

Sebaliknya, jurulatih berusia 45 tahun itu dengan segera mengalihkan tumpuan untuk mempertahankan kedudukan semasa Kedah sekaligus menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga. 

Namun begitu, Nafuzi mengakui perebutan tempat ketiga yang menjanjikan ganjaran sebanyak RM1.5 juta itu bukanlah perkara yang mudah lebih-lebih lagi perlu bertemu sendiri pencabar posisi itu, Sabah FC pada perlawanan terakhir liga kelak.

“Apa pun Sabah dengan Kedah sekarang ini berebut tempat ketiga, jadi kita pergi ke Sabah pun kita harus menang,”

“Dua perlawanan (terakhir) ini memang perlawanan yang sukar (untuk Kedah), kita yang (perlu) tentukan di mana tempat kita,”

“Kita masih berpeluang, kita cuba yang terbaik untuk sekurang-kurangnya (berada di tempat ketiga),”

“Yelah, sekarang ini kita dah confirm berada dalam (kelompok) empat teratas, jadi kita perlukan tempat yang terbaik iaitu nombor 3,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Darul Aman, semalam.

Pada ketika artikel ini ditulis, Kedah sedang berada di kedudukan ketiga liga dengan pungutan 53 mata daripada 25 perlawanan.

Manakala Sabah pula di tempat keempat dengan kutipan mata 48 mata daripada 24 perlawanan dan mereka akan turun menentang Perak FC pada malam ini di Stadium Perak, Ipoh bagi aksi ke-25 liga.

Sekiranya Sabah menang ke atas Perak kendalian Yusri Che Lah pada malam nanti, perlawanan terakhir melibat Sabah dan Kedah di Stadium Likas akan menjadi medan untuk menentukan pemenang No.3 liga.

Bagaimanapun, jika Sabah yang baru sahaja mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Piala AFC 2023-24 zon ASEAN mengakhiri perlawanan menentang Perak dengan keputusan seri atau kalah maka Kedah posisi No.3 liga itu secara mutlaknya menjadi milik Kedah.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

Komen