Artikel

Polis Muncul Juara Challenge Cup Edisi Pertama Dengan Format Baharu

Kelab Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) dinobatkan sebagai juara Challenge Cup (Piala Cabaran) bagi edisi pertama yang dianjurkan dengan format baharu.

PDRM atau nama julukannya The Cops bimbingan Dato’ Yunus Alif muncul juara selepas melakar keputusan seri 1-1 ketika bertemu Kuching City FC pada perlawanan akhir timbal balik di Stadium Negeri, Sarawak semalam.

Keputusan seri itu tercipta hasil jaringan pemain tengah Kuching City, Petrus Shitembi (33’) serta gol penyamaan oleh pemain import veteran PDRM, Uche Agba (56’).

Kedudukan 1-1 sehingga tamat masa permainan itu menjadikan PDRM menumpaskan Kuching City dengan keputusan 4-1 secara agregat selepas meraih kemenangan 3-0 pada perlawanan akhir yang pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu lalu.

Untuk makluman, Challenge Cup 2023 merupakan saingan edisi pertama dengan format baharu – melibatkan lapan pasukan yang gagal mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Lapan pasukan tersebut akan bermula di peringkat suku akhir sebelum mara ke separuh akhir serta perlawanan akhir yang dimainkan secara timbali balik di venue-venue atau halaman sendiri bagi setiap pasukan.

Sebagai rekod, Challenge Cup mula dipertandingkan pada musim 2018 dan ianya disertai oleh pasukan yang tidak layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia serta “feeder club” dan Terengganu FC II muncul juara pada edisi tersebut.

Penganjuran pada musim berikutnya diteruskan seperti biasa dan Johor Darul Ta’zim II (JDTII) muncul juara selepas menumpaskan UKM FC dengan agregat 2-0.

Bagaimanapun, penganjurannya dihentikan seketika pada musim 2020 hingga 2022 ekoran pandemik Covid-19 sebelum dihidupkan kembali pada musim ini dengan format baharu.

Featured Image: PDRM Football Club

komen