Sabah, Kedah Rebut No.3 Liga Pada 17 Dis – Ganjaran RM1.5 Juta
December 4, 2023 Hafizuddin Omar

Pertembungan terakhir liga musim ini melibatkan Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC pada 17 Disember kelak akan menjadi medan perhitungan bagi menentukan pemenang tempat ketiga Liga Super 2023.

Situasi itu hadir setelah Sabah bimbingan Datuk Ong Kim Swee berhasil mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Perak FC dalam aksi ke-25 liga di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Kemenangan tipis hasil jaringan oleh pertahanan Korea yang mampu bertutur dalam Bahasa Melayu, Park Tae-su pada minit ke-85 sudah memadai buat mereka meraih 3 mata dan mengumpul 51 mata – berbeza dua mata dengan Kedah yang mengumpul 53 mata.

Perbezaan mata itu membuka peluang untuk merampas posisi No.3 yang dihuni Kedah sekiranya mencatatkan kemenangan pada aksi terakhir liga yang akan berlangsung di halamannya sendiri, Stadium Likas.

Untuk makluman, pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Super musim ini akan meriah ganjaran wang tunai sebanyak RM1.5 juta manakala tempat keempat pula akan menerima RM1.2 juta – perbezaan sebanyak RM300,000.

Featured Image: Sabah Football Club

Komen