Artikel

Tomislav Rehatkan Pemain Utama Supaya Lebih Bersedia Hadapi JDT

Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berharap pemain tonggaknya yang direhatkan pada aksi ke-25 Liga Super menentang Penang FC lebih bersedia untuk menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia 2023.

Susulan merehatkan pemain-pemain tersebut, Tomi yang berusia 57 tahun bertindak menurunkan majoriti pemain muda daripada skuad Terengganu FC II ketika berhadapan Penang di Stadium Bandaraya, semalam.

Terengganu yang dibarisi pemain-pemain muda berhasil mendahului 1-0 hasil jaringan Syahmi Zamri pada minit 67’ namun terpaksa akur mengakhiri perlawanan dengan keputusan 1-1 dan sekadar mengutip satu mata apabila sepakan penalti Rafael Vitor berhasil masuk ke dalam gawang pada minit 90’+6.

“Saya ucapkan tahniah kepada pemain-pemain kerana mereka berikan (persembahan) yang maksimum, pada pemikiran saya”

“Kami memainkan beberapa pemain muda daripada TFC II kerana saya nak merehatkan beberapa pemain penting untuk perlawanan akhir pada Jumaat nanti,”

“Ini merupakan pengalaman yang bagus untuk mereka, saya tak berpuas hati dengan mata (yang diraih) apabila Penang dapat menyamakan kedudukan pada minit 96, penalti itu kerana kesilapan, mungkin, saya sedikit sedih tetapi tidak mengapa, itulah bola sepak,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Antara tonggak utama yang direhatkan dan langsung tidak tersenai dalam Senarai Pasukan oleh Tomislav pada perlawanan semalam ialah Sony Norde, Ivan Mamut, Habib Haroon dan Norhakim Hassan.

Manakala beberapa pemain yang beraksi ketika menentang Central Coast Mariners pada Rabu lalu pula bermula di bangku simpanan dan masuk sebagai pemain gantian seperti Sardor Kulmatov, Nurillo Tukhtasinov, Engku Nur Shakir dan Muhammad Ubaidullah.

Sementara itu, penjaga gol, Suhaimi Husin dan pertahanan kanan, Arif Fadzilah kekal berada di bangku simpanan sehingga tamat perlawanan.

Menurut Tomislav, hanya pemain tengah Nik Muhammad Sharif Haseefy sahaja yang bermula dalam kesebelasan utama menentang Central Coast Mariners bermula dalam kesebelasan utama menentang Penang.

Untuk makluman semua, skuad berpangkalan di pantai timur itu dijadualkan menentang juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga juara Liga Super dan Piala FA musim ini pada 8 Disember (Jumaat), sepak mula jam 9 malam, di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). 

Pada masa yang sama, Tomislav turut menegaskan tumpuan pasukannya adalah saingan Piala Malaysia dan Piala AFC sepertimana dibincangkan dengan pihak pengurusan sekitar dua bulan lalu.

Bagaimanapun, Tomislav tetap mengharapkan dapat mempertahankan kedudukan No.6 dalam saingan Liga Super – yang memberikan ganjaran RM1 juta – yang sedang dihuninya sehingga selesai perlawanan terakhir liga menentang Perak FC pada 17 Disember nanti.

Featured Image: Terengganu FC

komen