Piala Malaysia: TMJ Kongsi Keadaan Padang SNBJ 4 Hari Sebelum Final
December 4, 2023 Hafizuddin Omar

Berbaki empat hari sahaja lagi sebelum berlangsungnya perlawanan akhir Piala Malaysia 2023, padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) – venue perlawanan – nampaknya belum berada pada tahap yang sempurna sepenuhnya.

Berdasarkan foto-foto yang dikongsikan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ), padang tersebut dilihat masih sedang diselenggara.

Tunku Ismail berkongsikan foto-foto tersebut menerusi platform media sosial peribadinya, X dan juga Instagram sambil menyertakan kapsyen yang dituju kepada Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Dato’ Hans Isaac.

“Piawaian terbaik untuk perlawanan akhir Piala Malaysia. Nampaknya formula kamu berhasil @hansisaac,” tulisnya ringkas.

Keadaan padang yang menggunakan rumput jenis zeon zoysia tersebut sudah pasti berada dalam perhatiannya kerana pasukannya yang berjulukan Harimau Selatan merupakan finalis Piala Malaysia edisi kali ini bersama-sama Terengganu FC.

Selain itu, kos penanaman rumput zeon zoysia itu juga merupakan penajaan daripada TMJ sendiri yang mencecah sehingga RM1.4 juta.

Untuk makluman, pihak PSM terpaksa melakukan penyelenggaraan di beberapa bahagian padang SNBJ selepas ‘dihenyak’ oleh para penonton yang hadir menyaksikan konsert Coldpay pada 22 November lalu.

Mujurlah satu lagi konsert besar melibatkan pelakon dan artis bollywood, Hrithik Roshan dan rakan-rakannya yang dijadualkan pada 1 Disember (Jumaat) lalu ditangguhkan.

Featured Image: HRH Crown Prince of Johor

Komen