Artikel

Final Piala Malaysia Dipaparkan Dalam 4K UHD, Kualiti Audio Dolby Atmos

Para peminat bola sepak tempatan berpeluang untuk menyaksikan perebutan Piala Malaysia 2023 melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC pada 8 Disember nanti dalam paparan Definisi Ultra Tinggi 4K (4K UHD) serta kualiti audio dari Dolby Atmos.

Perkembangan ini hadir dimana Rakan Penyiar Rasmi Liga Malaysia, Astro menyiarkan siaran langsung perlawanan tersebut dengan paparan dan kualiti audio yang dinayatakan di saluran khas, Saluran 806 UHD dan Saluran 799 HD.

Pelanggan Pek Sukan Astro dan Pek Liga Malaysia akan mendapat akses ini secara percuma dan boleh menikmati pengalaman terbaik menonton dengan Astro Ultra Box. Untuk makluman, paparan 4K UHD menawarkan kualiti dan butiran lebih jelas empat kali ganda lebih tinggi daripada Definisi Tinggi (HD).

Sementara itu, menerusi Saluran 799 HD, ianya merupakan satu platform interaktif yang ditawarkan Astro buat para peminat bola sepak untuk mengundi pemain kegemaran yang ingin dilihat dengan lebih dekat dan jelas melalui teknologi “playercam” yang akan digunakan pada perlawanan itu nanti.

Menurut Astro, ini merupakan julung kalinya menyiarkan siaran langsung aksi sukan tempatan khususnya perlawanan Piala Malaysia dalam paparan 4K UHD sekaligus mencipta sejarah siaran langsung dalam arena sukan tanah air.

Sebelum ini, Astro hanya menyiarkan paparan 4K UHD untuk sukan antarabangsa sahaja seperti Piala Dunia FIFA, UEFA EURO, Liga Perdana Inggeris (EPL) dan lain-lain lagi.

Sementara itu, siaran langsung perlawanan yang akan dimainkan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ini juga boleh ditonton menerusi saluran Astro Arena 801 serta Astro Arena Bola 803 dengan sepak mula dijadualkan pada jam 9 malam.

 Pada masa yang sama, Astro memaklumkan pengulas bola sepak yang sedang meningkat naik, Wan Khairil Azwa akan menemani penonton sepanjang berlangsungnya perlawanan tersebut selaku pengulas bersama-sama bekas pemain, Nizaruddin Yusof.

komen