Akmal Rizal Sedia Bimbing Penang FC Musim 2024-25
December 5, 2023 Hafizuddin Omar

Bekas penyerang skuad kebangsaan yang kini berperanan sebagai ketua jurulatih sementara Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli bersedia untuk membimbing skuad berjulukan Harimau Kumbang secara tetap jika diberikan peluang oleh pihak pengurusan.

Menurut jurulatih berusia 41 tahun ini, peluang sebegitu tidak akan dilepaskannya lebih-lebih lagi bidang kejurulatihan menjadi tumpuannya sejak akhir-akhir ini. Sebelum dilantik untuk mengemudi skuad senior Penang menghadapi baki tiga perlawanan liga musim ini, Akmal merupakan ketua jurulatih skuad Penang bawah 23 tahun (B-23) yang beraksi dalam kancah Piala MFL.

Pada masa yang sama, kesediaan Akmal untuk memikul tanggungjawab selaku ketua jurulatih skuad senior Penang turut diiringi dengan kejayaannya melengkapkan lesen kejurulatihan, Diploma Pro AFC – lesen yang wajib dimiliki oleh setiap individu yang memegang jawatan selaku  ketua jurulatih dalam mana-mana kelab Liga Super.

“Saya rasa saya sudah bersedia kerana saya dah terjun ke dunia kejurulatihan jadi jika diberi tanggungjawab (dan) peluang oleh pihak pengurusan Penang FC, saya rasa itu satu peluang yang perlu saya ambil,” katanya menjawab soalan daripada wartawan selepas merekodkan keputusan seri 1-1 menentang Terengganu FC di Stadium Bandaraya, baru-baru ini.

Ketika mengendalikan perlawanan pertamanya secara sementara, Akmal berjaya membimbing Penang melakar kemenangan mengejutkan 3-2 ke atas Sri Pahang FC.

Keputusan itu cukup bermakna kerana ianya mengakhiri kemarau tujuh kemenangan dalam saingan Liga Super yang dihadapi Penang yang bermula pertengahan Julai lalu.  

Hasil mengikat Terengganu yang merupakan finalis Piala Malaysia serta beraksi dalam kancah Piala AFC pula, Penang kini mengekalkan rekod tanpa kalah serta mengumpul empat mata daripada dua perlawanan – pungutan mata yang penting untuk mempertahankan kedudukan No.10 dalam saingan Liga Super.

Sementara itu, Akmal sempat berkongsikan sedikit perancangan pembentukan skuad baharu sekiranya diberikan peluang mengisi jawatan ketua jurulatih untuk mengharungi musim 2024-25 kelak.

Menerusi pembentukan skuad baharu itu, Akmal mensasarkan untuk mengemudi Penang berada di kedudukan yang lebih baik berbanding musim ini.

“Saya akan cuba untuk menggabungkan pemain-pemain sedia ada ini dengan pemain-pemain baru yang lebih berkualiti dan juga pemain-pemain import yang akan meletakkan Penang (dalam) mungkin kita tidak dalam tahun pertama, mungkin susah untuk bersaing dalam kelompok-kelompok teratas tapi mungkin kita akan berjuang dan lebih baik daripada kita tunjukkan musim ini,” tambahnya lagi.

Featured Image: Penang Football Club

Komen