Selepas beraksi bersama beberapa buah kelab ternama dalam kancah bola sepak di eropah seperti AS Roma dan Inter Milan, Radja Nainggolan kini melebarkan kariernya ke negara jiran tetangga iaitu Indonesia.
Kehadiran bekas pemain tengah skuad kebangsaan Belgium yang berusia 35 tahun itu disahkan sendiri oleh majikan baharunya, Bhayangkara FC menerusi perkongsian di platform media sosialnya.
Bersama skuad berjulukan The Guardian itu nanti, Nainggolan yang merupakan pemain berdarah warisan Indonesia didedahkan akan menyarung jersi bernombor 10.
Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) Bhayangkara FC, Sumardiji memaklumkan Nainggolan diikat dengan kontrak selama setengah musim bagi menghadapi baki saingan Liga 1 Indonesia 2023-24.
Sumardiji turut mengharapkan kehadiran Nainggolan dapat membawa aura positif yang dapat memacu Bhayangkara FC keluar daripada zon penyingkiran serta kekal dalam saingan Liga 1 pada musim hadapan.
Untuk makluman semua, Bhayangkara FC kini menghuni tangga tercorot Liga 1 iaitu tangga ke-18 setelah hanya mengutip 11 mata daripada 21 perlawanan setakat ini.
View this post on Instagram
Difahamkan, khidmat Nainggolan diikat oleh Bhayangkara FC secara percuma memandangkan berstatus ejen bebas selepas tamat kontraknya pada penghujung Jun lalu bersama SPAL – kelab yang beraksi dalam saingan Serie B.
Untuk makluman, bagi menjayakan misi untuk kekal dalam saingan Liga 1 musim hadapan, Bhayangkara FC turut mengikat khidmat beberapa pemain lain seperti Witan Sulaeman, Osvaldo Haay dan Putu Gede pada jendela pertengahan musim sebelum menandatangani Nainggolan.
Featured Image: Bhayangkara FC