Artikel

FAM Anjur Kejohanan Liga Puteri B-15, Inisiatif Perkasa Bola Sepak Wanita

Badan induk bola sepak tanah air, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menganjurkan Kejohanan Liga Puteri B-15 bermula 9 hingga 17 Disember kelak bertempat di Padang Bola Sepak Sime Darby, Bukit Jelutong.

Disifatkan sebagai projek rintis serta kejohanan yang julung-julung kalinya diadakan ini akan ditandingi oleh lapan buah pasukan dari seluruh negara bagi merebut gelaran juara.

Lapan pasukan tersebut terdiri daripada FEM19 FC, Real CJ, Kelana United FC, Melaka, Sabah, SSS Leopard FC, KBJ Bangi dan SDFC.

Lapan buah pasukan ini akan dibahagikan kepada dua buah kumpulan. Setiap pasukan akan mengharungi peringkat kumpulan menerusi format “single round-robin” atau liga sepusingan. Dua pasukan teratas peringkat kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir.  

Untuk makluman, perlawanan separuh akhir dan akhir dijadualkan berlangsung pada 15hb (Jumaat) dan 17hb (Ahad) Disember masing-masing.

FAM menjelaskan penganjuran kejohanan ini merupakan satu inisiatif untuk memperkasakan lagi bola sepak wanita terutamanya di peringkat akar umbi dan belia dalam negara ini.

komen