Ranking BWF: Juara Syed Modi 2023 Masuki Kelompok 70 Terbaik Dunia
December 5, 2023 Hafizuddin Omar

Susulan merangkul kejuaraan di Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi 2023, beregu lelaki negara, Muhammad Haikal dan Choong Hon Jian berjaya menempatkan diri dalam kelompok 70 pasangan terbaik dunia. 

Menerusi kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, gandingan pemain berusia 20 dan 23 tahun masing-masing itu berada dalam kelompok itu setelah melangkau sebanyak 24 anak tangga berbanding kedudukannya pada minggu lalu.

Langkauan itu sekaligus meletakkan mereka pada tangga ke-69 dalam Ranking Dunia yang dicetuskan oleh tambahan 7,000 mata yang dipungut mereka hasil menjuara saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300 terbabit.

Gandingan Haikal-Hon Jian akan mengambil bahagian dalam saingan Guwahati Masters 2023 – Jelajah BWF bertaraf Super 100 – yang berlangsung di Assam, India bermula hari ini sehingga 10 Disember nanti.

Sekiranya Haikal-Hon Jian dapat mengulangi kejuaraan di kejohanan ini, pasangan yang bergandingan sejak penghujung Ogos lalu ini akan meraih tambahan 5,500 mata dan menolak mereka menghampiri kelompok 50 pasangan terbaik dunia.

Sementara itu, kemaskini oleh BWF pada hari ini turut memperlihatkan gandingan Wan Arif Junaidi dan Yap Roy King yang mara ke peringkat suku akhir sebelum terpaksa menarik diri mencatatkan lonjakan sebanyak enam tangga dan kini berada pada tangga ke-56 dunia.

Manakala kedudukan beregu lelaki utama negara seperti Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun serta Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin kekal di tangga ketiga, kesebelas, ke-19 dan ke-26 masing-masing seperti minggu lalu.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen