Piala Dunia Hoki Remaja: Malaysia Langkah Kanan, Bantai Chile 7-1
December 6, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad hoki lelaki Malaysia berjaya mencetak kemenangan besar ke atas Chile dalam aksi pertama Kumpulan A sekaligus memulakan kempen Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 dengan langkah kanan.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil tersebut menyaksikan Malaysia bimbingan Amin Rahim berhasil melakar kemenangan dengan keputusan 7-1 ke atas pasukan yang menghuni ranking ke-20 dunia itu, pada malam tadi.

Pesta gol Malaysia bermula dengan jaringan Mohammad Haris Iskandar Osman (13’) diikuti oleh Muhammad Danish Aiman (23’), Andywalfian Jeffrynus (36’), Azmilmuizzuddin Misron (39’), Mohamad Shamir Rizmi Shamsul (41’) serta jaringan berganda daripada Shahmie Irfan Suhaimi (47’, 55’).

Manakala Chile pula berhasil mendapatkan jaringan saguhati menerusi Sebastian Wolansky (34’).

Kemenangan besar Malaysia itu turut dihiasi dengan penyerang negara, Shahmie dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan (Man of The Match).

Pada masa yang sama, kemenangan besar skuad berjulukan Young Tigers itu bertambah manis dan bermakna apabila turut disaksikan oleh Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan hadir ke stadium.

Untuk perlawanan seterusnya, Malaysia akan berhadapan juara bertahan iaitu Argentina pada jam 8 malam nanti, di venue yang sama.

Terdahulu, Argentina turut memulakan kempen dengan langkah kanan apabila mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Australia menerusi jaringan tunggal oleh Nardolillo Iganacio (58’) petang semalam.

Featured Image: Malaysian Hockey Confederation

Komen