Ranking PSA: Sivasangari Sertai Kelompok ‘Top 15’ Dunia – Tertinggi Dalam Karier
December 6, 2023 Hafizuddin Omar

Pemain skuasy wanita No.1 negara, Sivasangari Subramaniam kini berada dalam kelompok 15 terbaik dunia sekaligus menjadi pencapaian tertinggi pernah diduduki dalam kariernya setakat ini.

Berdasarkan kemaskini Persatuan Skuasy Profesional (PSA) pada Isnin lalu, pemain berusia 24 tahun itu berada di tangga ke-15 dalam Ranking Dunia pada saat ini.

Kedudukan itu menjadi milik Sivasangari setelah mencatatkan kenaikan satu anak tangga – hasil mengumpul 3,830 mata – berbanding kedudukannya, tangga ke-16 pada minggu lalu.

Antara yang menyumbang banyak kepada kutipan mata tersebut adalah ketika Sivasangari muncul juara di kejohanan Terbuka Kelab Bola Sepak Hong Kong 2023 iaitu sebanyak 875 mata. 

Selain itu, kemaraan Sivasangari ke peringkat suku akhir Terbuka Skuasy Hong Kong 2023 dan Terbuka Skuasy Singapura 2023 turut memberikan sumbangan yang signifikan iaitu sebanyak 675 dan 430 mata masing-masing.

Kemasukan Sivasangari ke dalam kelompok 15 terbaik dunia ini bertambah manis dan bermakna selepas pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah ini terpaksa berehat panjang ekoran kemalangan sekitar penghujung Jun tahun lalu.

Featured Image: Squash Racquets Association of Malaysia

Komen