Pemain No.2 negara, Letshanaa Karupathevan menjadi wakil tunggal Malaysia dalam kategori perseorangan wanita yang meneruskan aksinya dalam saingan Guwahati Masters 2023 di India.
Pemain berusia 20 tahun itu mengesahkan langkah tersebut apabila lawannya, Wiktoria Dabczynska menghentikan permainannya ketika ketinggalan 2-15 pada set pertama pada pusingan 32, sebentar tadi.
Tindakan oleh pemain Poland yang menghuni ranking ke-135 dunia itu sekaligus menghantar Letshanaa, penghuni tangga ke-64 dunia, ke pusingan 16 dalam kejohanan Jelajah BWF bertaraf Super 100 ini.
YONEX-SUNRISE Guwahati Masters 2023
WS – R32
15 🇲🇾Karupathevan LETSHANAA🏅
2 🇵🇱Wiktoria DABCZYNSKA🕚 in 9 minutes
— BWFScore (@BWFScore) December 6, 2023
Pada pusingan seterusnya, Letshanaa akan bertemu pemain tuan rumah yang berada di ranking ke-132 dunia, Ira Sharma untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.
Terdahulu, Ira berhasil melangkah ke peringkat yang sama setelah menumpaskan pemain negara, Wong Ling Ching yang berada di ranking ke-69 dunia menerusi tiga set permainan menerusi skor 21-17, 17-21 dan 12-21 dalam tempoh masa 50 minit.
Sementara itu, pemain No.4 negara, Kisona Selvaduray terpaksa akur tersingkir daripada kejohanan ini ekoran tumpas di tangan penghuni ranking ke-67 dunia, Tanya Hemanth pada pusingan 32.
Perlawanan melibatkan kedua-dua pemain ini berakhir dengan Tanya mencatatkan kemenangan menerusi tiga set permainan berskor 21-16, 15-21 dan 21-16 dalam tempoh 50 minit.
Semalam, pemain No.5 negara, Kasturi Radhakrishnan menjadi yang terawal tersingkir daripada Guwahati Masters 2023 apabila tumpas secara “straight set” 14-21 dan 17-21 di tangan Wiktoria pada pusingan pertama peringkat kelayakan.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia